Pengguna kita belum ada kesedaran? - Utusan Malaysia

Pengguna kita belum ada kesedaran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNA diingatkan untuk mengubah tabiat membeli barangan secara tergesa- gesa lebih-lebih lagi menerusi platform pembelian dalam talian. 

Gesaan itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr. Jacob George yang mendapati masalah ‘sikap’ kerap menyumbang kepada faktor penipuan yang sering dilaporkan. 

Menerusi tawaran iklan yang menarik, katanya, pengguna lebih mudah terpedaya dan terjerat untuk membuat transaksi secara elektronik. 

“Bukan isu pengguna kena scam dengan penjual sahaja, tetapi masalah itu datang daripada sikap pengguna sendiri. 

“Sikap suka beli cepat-cepat selepas tertarik dengan iklan, apatah lagi platform teknologi yang semakin canggih dan mudah. 

“Masalah tetap berulang walaupun kita sudah berulang kali memberi peringatan supaya menjadi pengguna yang bijak,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Memperjuangkan isu dan hak pengguna hampir 40 tahun, beliau menasihatkan pengguna agar mengutamakan barangan keperluan berbanding kehendak lebih-lebih lagi ketika ekonomi tidak menentu. 

“Berhati-hatilah membuat sebarang pembelian kerana banyak cabaran yang akan menanti selain kos sara hidup dan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST). 

“Jangan bazirkan wang terhadap barangan yang tidak penting. Sentiasa fikir banyak kali sebelum membuat sebarang pembelian.

“Siasat latar belakang syarikat dan kenal pasti barangan yang dijual. Ini bagi memudahkan kita membuat aduan sekiranya berlaku kesilapan atau penipuan kelak,” ujarnya. 

Sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia disambut hari ini, beliau mahu tindakan proaktif oleh semua pemimpin politik serta aspek penguatkuasaan dipertingkatkan. 

“Pemimpin politik perlu membela hak pengguna yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Masalah di akar umbi masih banyak terjadi dan ramai menjadi mangsa pembelian dalam talian. 

“Kita tidak mahu sambutan hari pengguna ini sekadar retorik atau kosmetik semata-mata. Apakah definisi sebenar hari pengguna kalau mereka tidak dibela sewajarnya” katanya melontarkan persoalan.         

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×