Sangai rempah-ratus, rahsia sup gearbox padu

Sangai rempah-ratus, rahsia sup gearbox padu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH seharian penat berpuasa, alangkah seronoknya jika dapat menghirup sup gearbox dengan aroma wangi, daging lembut dan kuah yang pekat.

Walaupun menu ini mudah didapati, namun kelazatan sajian ini yang dihidangkan di Restoran Zende di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur tetap ditunggu-tunggu saban tahun.

Barangkali ada yang tertanya-tanya apakah yang membuatkan sup gearboxini berbeza berbanding yang lain.

Cef Eksekutifnya, Zainuddin Abdul Rahim berkata, rahsia enak menu itu terletak pada penggunaan rempah-ratus buatan tangan yang disangai terlebih dahulu sebelum ditumis.

“Sup gearbox ini dijual hanya pada Ramadan, menggunakan resipi sama sejak 10 tahun lalu.

“Memandangkan menu ini sudah ada peminat tersendiri, maka, kita memilih mengekalkan cara masakan sama bagi menggamit nostalgia pelanggan,” katanya.

Sup dimasak dalam tempoh enam hingga lapan jam, menggunakan api perlahan bagi mendapatkan aroma enak.


MENU NEGERI UNIK
Bufet Ramadan bertemakan Citarasa Zaman Berzaman itu menyediakan aneka sajian.

Antaranya, nasi Arab, platter makanan laut, sup ekor, kari kepala ikan, gulai kawah, bakso dan dim sum.

Bagi mencipta kelainan, restoran turut menampilkan menu popular negeri.

Ada martabak Putrajaya, roti john Sabah, mi ceduk Pahang, kambing panggang Johor dan bakar-bakar Selangor.

“Nama-nama menu itu digabungkan dengan negeri sebagai tarikan kepada pengunjung.

“Malah, sebahagian hidangan, ada dimasak secara langsung bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pelanggan,” katanya.

Konsep masakan itu tercetus atas permintaan ramai dan pertama kali diketengahkan pada Ramadan tahun ini.

Di samping itu, pelanggan pasti terpukau dengan aneka pemanis mulut tradisi yang susah makin dilupakan di gerai kuih-muih Kelantan.

Zainuddin berkata, kuih itu termasuk lompat tikam, badak berendam, lepat pisang dan peknga.

Istimewanya, peknga atau lempeng dengan sambal ikan bilis itu disajikan panaspanas kepada pelanggan.

“Selain mengimbau nostalgia, secara tidak langsung, kita dapat mempromosikan kuih-muih lama kepada kanak-kanak dan generasi muda yang mungkin tidak pernah atau jarang menikmatinya,” katanya.

Untuk kemudahan pelanggan, pihak hotel turut menyediakan kaunter pembayaran zakat di aras dua.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×