Doktrin tanggungjawab bersama pindaan kewarganegaraan

Doktrin tanggungjawab bersama pindaan kewarganegaraan

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM pelaksanaan fungsi mereka, Jemaah Menteri di Malaysia dikawal oleh dua doktrin yang penting mengenai tanggungjawab menteri (ministerial responsibility), iaitu tanggungjawab individu dan tanggungjawab bersama.

Tanggungjawab individu merujuk kepada tanggungjawab menteri ke atas setiap perkara yang berlaku di bawah kementeriannya. Perkara ini tertera di dalam kata-kata Lord Morrison yang berbunyi, “seseorang menteri bertanggungjawab kepada Parlimen ke atas apa sahaja yang ia atau kementeriannya laksanakan atau ke atas apa saja yang ia berkuasa untuk laksanakan tanpa mengira sama ada ia melaksanakannya atau tidak”.

Tanggungjawab bersama pula merujuk kepada tanggungjawab menteri untuk menerima, menyokong dan mempertahankan keputusan yang dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri. Perkara ini tertera di dalam kata-kata Lord Salisbury yang berbunyi, “setiap ahli yang tidak meletak jawatan bertanggungjawab ke atas keputusan Kabinet dan tidak berhak menyebut selepas itu dia bersetuju berkompromi atau dia dipujuk oleh rakan untuk bersetuju.”

Doktrin tanggungjawab bersama, dengan tiga konsep utama, iaitu kebersamaan (unity rule), sebulat suara (unanimity rule) dan kerahsiaan (confidentiality rule), memerlukan semua menteri bertanggungjawab mempertahankan dan tidak boleh dilihat sebagai mengasingkan diri bila mana-mana menteri menjelaskan atau melaksanakan apa-apa keputusan Jemaah Menteri.

Peri pentingnya doktrin tanggungjawab bersama ini tergambar di dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”.

Mutakhir ini, hangat perbincangan mengenai persetujuan Jemaah Menteri pada 8 Mac lalu untuk membuat pindaan membabitkan lapan perkara ke atas Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai peruntukan mengenai pemberian hak kewarganegaraan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan dalam sidang Parlimen pada 11 Mac lalu bahawa pindaan utama yang akan dibuat adalah memasukkan perkataan ‘ibu atau bapanya’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia diterima sebagai warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang.

Bagaimanapun, pindaan utama ini tidak boleh dilakukan secara sendirian kerana seperti penjelasan Saifuddin, “Kita nak buat satu perkara yang betul dan yang kita nak elak juga adalah memberi warganegara kepada orang yang tidak layak, dia mesti ada elemen kawalan.”

Saifuddin juga menjelaskan bahawa cadangan untuk membuat pindaan ini secara berpisah atau decoupled telah dibentang kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tetapi tidak mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan turut ditolak oleh Mesyuarat Jemaah Menteri.

Oleh itu, tidak perlulah ia dibangkitkan, apatah lagi setelah keseluruhan cadangan pindaan ini diterima Majlis Raja-Raja, Kerajaan Sabah dan Sarawak selain Jemaah Menteri. Sudah pastilah semua pihak ini telah mempertimbangkan dengan teliti kesemua aspek yang akan dipinda sebelum menerimanya.

Begitupun, walaupun banyak penjelasan diberikan, masih ada pihak yang mempertikaikannya atas alasan bahawa pemindahan peruntukan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua dari kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang ke kategori Kewarganegaraan Melalui Pendaftaran dikatakan akan menjejaskan hak kanak-kanak baharu lahir yang dijumpai ditinggalkan tanpa perlindungan di mana-mana tempat (atau bayi terdampar) untuk mendapat kewarganegaraan secara automatik.

Salah fahamnya di sini adalah walaupun berada di bawah kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang, pemberiannya bukanlah secara automatik kerana elemen penyiasatan tetap dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyiasat latar belakang kes kanak-kanak berkenaan bagi memastikan kerajaan tidak sewenang-wenangnya memberikan taraf kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang kepada kanak-kanak itu. Jika tiada pengesahan daripada badan-badan ini maka kanak-kanak itu tetap tidak boleh diberikan kewarganegaraan.

Pemindahan peruntukan Seksyen 19b Bahagian II Jadual Kedua ini ke kategori Kewarganegaraan Melalui Pendaftaran adalah perlu bagi mengelakkan kewarganegaraan diberi kepada kanak-kanak dengan cara fraud, representasi palsu, penyembunyian apa-apa fakta material atau dengan silap di mana mengikut rekod perkara ini banyak berlaku serta jika diberi dengan cara begitu pelucutan kewarganegaraan masih boleh dibuat di bawah Perkara 26(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan berbanding jika ia dikekalkan dalam kategori Kewarganegaraan Melalui Kuat Kuasa Undang-Undang yang pelucutan kewarganegaraan tidak boleh dibuat.

Ada pihak yang menentang cadangan pindaan ini mengaitkannya dengan ketidakselarian dalam amalan antarabangsa sedangkan Kementerian Dalam Negeri menubuhkan pasukan penyelidik yang menyelidik 840 akta dalam negara supaya wujud keseragaman dan tidak berlaku percanggahan antara semua cadangan pindaan ini dengan akta-akta lain selain melihat pemakaian perkara yang sama di peringkat antarabangsa.

Hakikatnya perbandingan dengan Singapura dan United Kingdom (UK) mendapati peruntukan mengenai rakyat tanpa warganegara ini hanya diperuntukkan dalam peruntukan tambahan dan bukannya dalam perundangan kewarganegaraan mengenai kuat kuasa undang-undang negara tersebut.

SOKONGAN
Malang sekali jika yang mempertikaikan perkara ini adalah ahli-ahli Parlimen dari parti penyokong kerajaan kerana ini menunjukkan seolah-olah ketua mereka yang menganggotai Jemaah Menteri gagal mendapat sokongan dan menjelaskan keperluan bersetuju dengan keputusan yang dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri kepada ahli-ahli Parlimen mereka.

Oleh itu, diharapkan semua ahli Jemaah Menteri lebih menghayati doktrin tanggungjawab bersama dan tidak semata-mata meletakkan ke atas bahu Saifuddin sendirian bagi mendapatkan sokongan ke atas cadangan pindaan yang bukan sahaja telah mendapat persetujuan Jemaah Menteri, Kerajaan Sabah dan Sarawak tetapi juga perkenan Majlis Raja-Raja ini.-UTUSAN

DR. Hirwan Jasbir Jaafar ialah lulusan doktor falsafah dalam bidang undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×