SAUDARA PENGARANG,
SIKAP kebanyakan generasi muda yang kini lebih gemar menjadi pempengaruh hingga tidak berminat untuk menyambung pelajaran dijangka membawa implikasi negatif seperti kekurangan tenaga pakar dalam negara.
Saya akui, memang ramai berminat menjadi pempengaruh memandangkan generasi muda kini lebih suka pekerjaan yang bersifat fleksibiliti, tidak suka tekanan dan bersifat autonomi, sekali gus menjadikan kerjaya penuh sebagai pempengaruh pilihan utama.
Minat belajar dalam kalangan generasi muda luntur kerana kekurangan peluang pekerjaan dalam bidang dipelajari mereka ketika ini. Keadaan tersebut menyebabkan pelajar merasa tidak berguna belajar kalau tiada faedah seperti pekerjaan sesuai diperoleh.
Sebelum ini, gempar seorang pempengaruh media sosial berkata belajar di sekolah adalah perkara yang membuang masa dan tenaga.
Kerajaan dan pihak perindustrian perlu bertanggungjawab untuk usahakan penawaran kerjaya yang lebih banyak kepada generasi muda. Mereka sepatutnya perlu didedahkan tentang fungsi jurusan yang dipelajari di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) kepada negara agar minat tentangnya tidak luntur, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda hari ini.
Menjadikan kerjaya sebagai pempengaruh sebagai panduan dalam membuat keputusan adalah satu pemikiran yang tohor dan boleh mendatangkan kemudaratan jika tidak diiringi dengan ‘kerja rumah’ secukupnya. Beringatlah bahawa tidak semua tindak-tanduk mereka betul, tidak semua ulasan yang dibuat adalah jujur dan tidak semua rekomendasi adalah berpaksikan kebenaran dan keabsahan.
Kehidupan dipamerkan di media sosial bukanlah berdasarkan realiti malah ada kalanya ia direka-reka dan seolah-olah mengadaptasi keindahan mimpi ke alam realiti.-UTUSAN
AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi Kesatuan










