Rasuah RM5 juta: Empat penjawat awam direman

Rasuah RM5 juta: Empat penjawat awam direman

ANTARA penjawat awam yang direman berkaitan kes seludup tembakau, rokok dan arak di Mahkamah Majistret Putrajaya. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Empat penjawat awam berusia 40-an hingga 50-an direman empat hari sehingga Jumaat ini kerana disyaki menerima rasuah lebih RM5 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram melalui pintu masuk negara.

Perintah terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya semalam.

SPRM sedang mengesan seorang lagi suspek dalam kes berkaitan.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki itu ditahan di sekitar Lembah Klang antara pukul 11.30 pagi hingga 4 petang semalam dalam operasi khas dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM.

Operasi tersebut dilaksanakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam operasi yang dijalankan ini, SPRM menahan lapan individu termasuk empat penjawat awam yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket berkenaan sejak tahun 2018 hingga 2023.

“Setakat ini, sindiket tersebut dipercayai menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan kira-kira RM400 juta dan memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain,” katanya.

Susulan operasi ini, AML SPRM turut merampas pelbagai barangan seperti telefon bimbit, komputer riba, komputer peribadi, wang tunai, rumah dan kereta yang dianggarkan bernilai hampir RM6 juta.

Selain itu, SPRM turut membekukan sebanyak 237 akaun bank membabitkan wang berjumlah kira-kira RM12 juta.

Sindiket itu dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman empat suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Ke­seksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×