Panduan elak terkejut masuk Ramadan - Utusan Malaysia

Panduan elak terkejut masuk Ramadan

Puasa tanpa solat seumpama memandu kereta tanpa tayar atau enjin. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan datang lagi membawa manifestasi kasih sayang Allah kepada semua hamba-Nya. Pun begitu, ada manusia malang yang terus leka, enggan merebut hembusan rahmat Allah dalam bulan ini. Manusia malang sebegini memang disebut Nabi SAW bermaksud:

Telah tiba kepada kamu semua bulan Ramadhan yang penuh berkat. Allah mewajibkan ke atas kalian puasa pada siangnya. Dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu, padanya ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Sesiapa yang dihalang (daripada mendapat) kebaikannya, maka dia akan dihalang (kerana tidak mengambil kesempatan beribadat padaNya) (Musnad Ahmad, 7148).

Bahagian akhir hadis ini menyebut ada orang yang terhalang daripada mendapat limpahan rahmat Ramadan. Boleh jadi manusia begini ‘terkejut’ dengan kehadiran Ramadan kerana tiba-tiba terpaksa berlapar pada siangnya. Berbeza dengan orang yang teruja menunggu ketibaan Ramadan seperti kekasih yang sangat dirindui.

Mereka sudah lama merancang agar tetamu istimewa Ramadan disambut dengan penuh takzim. Setiap ketika dan saat bersama Ramadan akan didakap dengan penuh harapan.

Rencana ini cuba membimbing pembaca agar tidak terkejut apabila melangkah masuk bulan Ramadan.

Berikut beberapa cadangannya:

Pertama – Berdoa agar mendapat manafaat maksima dari Ramadan. Seorang Tabi’in bernama Makhul akan berdoa menjelang tiba Ramadan dengan doa ini ertinya:

Ya Allah! Sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu). (Kitab al-Du’a oleh Imam al-Tabrani. 913)

Doa ini indah dan dalam maksudnya. Kita mohon agar dijemput masuk Ramadan dengan sejahtera kerana ramai yang dijemput Allah pulang ke alam baka atau jatuh sakit sebelum tiba Ramadan, lalu mereka terlepas peluang menikmati limpahan rahmat Ramadan. Ada juga yang masuk Ramadan dengan segar bugar, tetapi tiada kesedaran rohani untuk memaksimakan ibadat. Dia menganggap Ramadan hanya satu fasa cuti perut pada siangnya sahaja.

Ramadan juga dianggap sebagai satu halangan wajib yang perlu dilalui untuk menyambut hari raya di hujungnya.

Ketika orang soleh berduka melihat Ramadan berakhir, manusia jenis ini pula bergembira untuk beraya.

Di akhir doa ini kita mengharapkan segala amal soleh kita dalam Ramadan di terima Allah. Hal ini kerana ada juga yang berhabis harta dan berpenat lelah dengan ibadat dalam Ramadan, namun pahalanya tidak maksima kerana kurang ilmu dan keikhlasan. Pendek kata doa di atas adalah pakej sempurna yang diharapkan hamba Allah sejati dengan kedatangan Ramadan.

Kedua – Lengkapkan diri dengan ilmu berkenaan kelebihan Ramadan. Ilmu membezakan sudut pandang manusia. Ketika orang jahil melihat Ramadan hanya sekadar bulan cuti makan, orang berilmu gembira memuncak kerana mendapat cek ibadah kosong yang boleh diisi semahu mungkin untuk mereka jadi jutawan pahala di akhir Ramadan.

Ketiga – Elak diri daripada perbuatan yang boleh membocorkan kantung pahala Ramadan seperti berikut:

• Puasa tanpa solat. Jangan salah susun rukun Islam. Solat mendahului puasa. Solat juga tiang agama yang wajib dijaga. Puasa tanpa solat seumpama memandu kereta tanpa tayar atau enjin. Lalu bagaimana agaknya kereta itu mampu sampai kepada keredaan Allah, apatah lagi pintu syurga? Perhatikan ketegasan Nabi SAW ketika mengangkat isu solat bermaksud:
Sesungguhnya pembeza antara seorang Islam dan syirik serta kufur adalah meninggalkan solat (Sahih Muslim, 116).

• Buruk akhlak dan tidak sabar ketika puasa. Puasa datang bersama pakej sabar dan taqwa. Biasanya apabila perut kosong, kesabaran memang teruji keras. Oleh itu, tahan seketika segala semangat kepahlawanan anda ketika berpuasa, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan situasi meruncing atau provokasi.

Sabda Nabi bermasud:

Puasa adalah pelindung dari neraka. Sekiranya seseorang dari kamu sedang berpuasa pada suatu hari, maka janganlah bercakap kotor dan janganlah menengking. Jika seseorang mencela atau ingin bergaduh dengannya, katakanlah: “Sesungguhnya aku berpuasa” (Sahih al-Bukhari, 1761).

• Percaya dan menyebar khurafat Ramadan. Antara khurafat paling popular dan sensasi dalam bulan Ramadan ialah kepercayaan roh pulang ke dunia. Kepercayaan ini jelas bercanggah dengan akidah Islam yang menegaskan, roh orang mati tidak boleh dan tidak mampu pulang ke dunia setelah melangkah masuk ke alam barzakh:

Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, dia berkatalah: “Wahai Tuhanku, kembalikan daku (hidup semula di dunia) – “Supaya dapat aku kerjakan amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataan itu hanya kata-kata yang dia ucapkan, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding pemisah yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat) (al-Mu’minun 23:99-100).

Jika kita simpati pada mereka, kirim sahaja pahala dan doa dari dunia tanpa perlu mereka kembali ke dunia.

• Berbuka puasa dengan rokok. Fatwa terkini para ulama’ menegaskan rokok adalah haram dek pelbagai mudarat yang terbit daripadanya (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37, 23 Mac 1995). Malang sungguh jika usaha puasa seharian dirosakkan hanya kerana sedutan asap yang langsung tiada nilai gizi untuk tubuh.

Semoga teguran dalam rencana ini mampu menjentik kita semua yang masih baru melangkah masuk ke bulan Ramadan. Baru dua hari. Masih sempat untuk melaraskan kembali niat dan perancangan kita dalam bulan mulia ini agar ia selari dengan ajaran Islam.

Jangan rasa terkejut dengan kedatangan Ramadan, sebaliknya tukar kejutan itu menjadi lonjakan hasrat serta cita-cita untuk menggapai limpahan rahmat Ramadan semaksima mungkin.

Manusia yang bijak ialah orang yang segera merebut peluang di depan mata, kerana belum tentu keseluruhan Ramadan tahun ini atau Ramadan akan datang milik kita.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×