Penjawat awam di N. Sembilan diseru sambut kempen potongan gaji wakaf - Utusan Malaysia

Penjawat awam di N. Sembilan diseru sambut kempen potongan gaji wakaf

MOHD. Zafir Ibrahim (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2023 di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyeru agar penjawat awam di negeri ini untuk bersama-sama menyambut Kempen Potongan Gaji Wakaf Tunai Negeri Sembilan yang bermula serendah RM5.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk. Mohd Zafir Ibrahim berkata, selain daripada itu, semua ketua-ketua Jabatan dan agensi kerajaan negeri amat digalakkan untuk bersama-sama dalam Kempen Seruan Berwakaf dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). 

“Usaha yang dilaksanakan ini bagi meningkatkan lagi kutipan wakaf di Negeri Sembilan dan lebih ramai masyarakat awam dapat berkongsi manfaat daripada projek-projek wakaf yang dibangunkan oleh MAINS. 

“Wakaf Tunai MAINS ini diagihkan kepada empat sektor iaitu pendidikan, kesihatan, sosioekonomi dan pengembangan harta wakaf untuk dimanfaatkan sepenuhnya kepada masyarakat.

“Marilah bersama-sama mengambil kesempatan ini bersempena Bulan Wakaf yang berada di dalam bulan Ramadan untuk kita berwakaf melalui MAINS agar lebih ramai menikmati manfaatnya bahkan menjadi pemangkin kepada keteguhan hubungan persaudaraan dan kasih sayang sesama insan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan 2023 di Wisma Negeri hari ini. 

Yang hadir sama, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Dr. Adnan Mat. 

Mohd. Zafir berkata, pelancaran Bulan Waqaf Peringkat Negeri Sembilan menjadi bukti peranan penting MAINS yang sentiasa terkehadapan dalam menyokong dan membantu pembangunan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan.

“Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, semua urusan hal ehwal agama Islam terletak di bawah kuasa Kerajaan Negeri. 

“Di bawah Enakmen atau Ordinan Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, Majlis Agama Islam Negeri adalah pemegang amanah tunggal bagi semua hartanah wakaf maka menjadi kewajiban MAINS untuk bertanggungjawab dalam membangunkan hartanah wakaf ini,” katanya.

Kata beliau, seruan untuk berwakaf telah disebut dalam kalam suci Al-Quran di mana Allah SWT berfirman dalam Surah al- Imran ayat 92. 

“Ia bermaksud, kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu infakkan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu infak maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. 

“Jelas anjuran infak ini membawa kepada terhasilnya konsep wakaf yang patut menjadi amalan kita. Oleh kerana keupayaan konsep wakaf yang mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara, penjawat awam Negeri Sembilan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda penting dalam membantu masyarakat untuk keluar daripada kepompong kemiskinan, “katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×