PORT DICKSON: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PDD) telah diarahkan untuk memantau secara serius bagi mengekang isu ketirisan berkaitan projek pembangunan sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, kelewatan pembangunan walaupun satu sekolah sahaja, ia memberikan impak kepada akses pendidikan pelajar dan murid.
“Sebab itu kita tidak boleh kompromi kalau ada isu yang berkait rapat dengan ketidakjujuran, kecurangan, ketirisan dalam apa-apa isu pembinaan sekolah, jika ada isu-isu tersebut saya telah arahkan JPN dan PPD untuk lihat secara serius.
“Kita tidak mahu ada sebarang penangguhan ini yang akan menyebabkan anak-anak kita tidak mendapat akses pendidikan.
“Saya kena tegaskan soal akses pendidikan ini kerana ketika ini enrolmen untuk tahun akademik kali ini adalah luar biasa, kita lihat kepadatan sekolah, sebab itu kita ada komitmen tinggi untuk pastikan anak-anak kita terus bersekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga, Siliau di sini hari ini.
Pada lawatan itu, Fadhlina turut melihat pengoperasian sekolah berkenaan termasuk blok bangunan baharu yang telah siap dan digunakan baru-baru ini meskipun pembinaannya sebelum mengalami kelewatan sehingga 10 tahun.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita, beliau menjelaskan, antara komitmen besar pihaknya adalah bagi memastikan akses pendidikan kepada kanak-kanak di negara ini terus terjamin.
“Komitmen kementerian adalah untuk pastikan akses pendidikan anak-anak terus dijamin. Isu akses pendidikan ini telah saya tegaskan berulang kali, pertamanya pastikan enrolmen meningkat dengan begitu pesat ke sekolah. Enrolmen sekolah rendah sudah capai 98-99 peratus, sekolah menengah 95 peratus kena kerja keras lagi.
“Pengoperasian sekolah kita mesti lebih daripada sudut efisien menyiapkan prasarana sekolah itu, saya dapat banyak permintaan sekolah-sekolah baharu, sebab itu komitmen kerajaan dalam belanjawan, 26 buah sekolah kami minta, 26 buah kami dapat, ini kejayaan luar biasa Kerajaan Madani,” katanya.-UTUSAN.










