PORT DICKSON: Kementerian Pendidikan menegaskan, apa sahaja jemputan ke program dianjurkan di sekolah yang melibatkan orang kenamaan termasuk ahli politik perlu mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak kementerian.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tiada halangan untuk kehadiran sesiapa sahaja ke program di sekolah terutamanya melibatkan pelajar dan murid asalkan garis panduan berkenaan dipatuhi dan diikuti.
“Saya tegaskan kembali, apa sahaja jemputan untuk pergi ke program-program sekolah, menyertai aktiviti yang melibatkan orang kenamaan, ahli politik, NGO, mesti mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan.
“Ada garis panduan jemputan tersebut, ia mesti dipatuhi dan mendapat pengesahan dan kebenaran, ada prosesnya dan mesti ikut proses tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Sagga, Siliau di sini hari ini.
Fadhlina menegaskan lagi, dalam perkara tersebut, aspek keselamatan murid-murid dan pelajar adalah paling diberikan keutamaan.
“Tiada halangan, mesti mematuhi garis panduan tersebut, kena semak sama ada dipatuhi ataupun tidak. Kena rujuk garis panduan, kalau dipatuhi tiada masalah. Berulang kali ditegaskan, mesti ada kebenaran dan permohonan pihak yang menjemput itu.
“Tiada isu, sekolah ini nombor satu yang perlu diingatkan adalah mengenai keselamatan anak-anak, keduanya adalah daripada segi kebenaran itu kena ada prosesnya, garis panduan dibuat adalah untuk dipatuhi, patuhi dan hormat proses tersebut,” katanya lagi.
Baru-baru ini di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri mendakwa telah dihalang untuk merasmikan program melibatkan pelajar sekolah dan hadir ke program di sekolah di negeri itu.-UTUSAN.










