Bekas MPT Bersatu masuk PKR

Bekas MPT Bersatu masuk PKR

Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
MUHAMMAD Faiz Na'aman (tengah)  bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa Majlis Doa Selamat dan sesi Penerangan isu-isu semasa di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),  Dr Muhammad Faiz Na’aman sah menyertai PKR semalam.

Perkara itu dimaklumkan Dr Muhammad Faiz menerusi hantaran Facebook beliau selepas beliau hadir pada majlis doa selamat dan sesi penerangan isu-isu semasa di kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad.

Selain beliau, turut mengambil langkah sama adalah bekas Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah merangkap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil.

Menurut Dr Muhammad Faiz, beliau bertekad memperkasakan perjuangan asal PKR dan matlamat cakna rakyat kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Amirudin serta agenda nasional Malaysia Madani diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas mempertahankan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan

“Inilah langkah saya serta rakan-rakan seperjuangan yang berjiwa marhaenis, nasionalis moderat dan pro integriti sepertimana roh asal reformasi ketika ia mula bergema di negara kita kira-kira 26 tahun yang lalu.

“Dengan pengumuman terbuka oleh Datuk Menteri Besar dalam majlis itu  maka saya dan mantan ADUN Dengkil yang juga mantan Ketua ARMADA Selangor saudara Adhif Syan telah diterima sebagai ahli PKR yang baru. Syukur. Setelah saya tidak berparti lebih dari enam bulan,” katanya.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Dr Muhammad Faiz mengumumkan meletak jawatan termasuk keluar sebagai ahli Bersatu kerana mendakwa objektif awal penubuhan parti berkenaan kian terpesong.

Tambah beliau, pemilihan calon oleh parti juga bersifat ‘berat sebelah’ kepada ‘kartel’ tertentu dan muka baharu dijadikan sebagai ahli semata-mata untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×