BANGKOK: Gara-gara terdesak ingin melangsaikan hutang, seorang lelaki berusia 57 tahun di Thailand berjanji untuk menjual sebelah matanya bagi menyelesaikan masalah kewangan dihadapinya.
Gambar menyayat hati lelaki itu yang juga penjual buah tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Lapor thethaiger.com, gambar itu menunjukkan lelaki tersebut sedang menjual buah-buahan dengan sepanduk tertera mesej ‘mata untuk dijual’.
Pada mulanya, kisah penjual buah itu dikongsi di laman Facebook Panda Lab Doctor.
Media tempatan kemudian mendedahkan keadaan teruk yang mendorong penjual buah itu bertindak sedemikian.
Meskipun, kegiatan pemerdagangan organ adalah haram di Thailand, lelaki yang dibebani hutang itu, menyuarakan niatnya untuk menjual sebelah matanya bagi menyelesaikan hutangnya.
Penjual buah itu menerusi satu temu bual mendedahkan bahawa hutangnya berpunca daripada pelaburan yang gagal sehingga menyebabkannya terperangkap dalam masalah kewangan.
Nasib lelaki itu menggambarkan krisis yang lebih meluas, dengan lebih 100,000 individu terjerat dalam hutang akibat pinjaman dengan kadar faedah yang terlalu tinggi.
Undang-undang Thailand melarang sekeras-kerasnya aktiviti pemerdagangan organ, dengan hukuman berat dikenakan terhadap mereka yang terlibat termasuk pengamal media.










