Murid darjah empat kemalangan ketika melintas - Utusan Malaysia

Murid darjah empat kemalangan ketika melintas

Murid kemalangan
PASUKAN perubatan membantu kanak-kanak darjah empat yang terlibat dalam kemalangan dekat Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak berdepan detik cemas pada hari pertama sesi baharu persekolahan apabila terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika sedang melintas jalan dekat Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 petang itu, murid lelaki berusia 10 tahun berkenaan dikatakan mahu melintas sebaik sahaja turun dari bas sekolah yang dinaikinya untuk pulang ke rumah.

Katanya, bagaimanapun, terdapat sebuah kereta jenis Proton Exora dipandu seorang wanita berusia 40 tahun memotong bas sekolah yang sedang berhenti di hadapannya.

“Tiba-tiba murid berkenaan turun dan melintas di hadapan bas itu dan melanggar pintu hadapan sebelah kiri kereta terbabit yang sedang memotong bas tersebut.

“Pelajar sekolah itu cedera di bahagian kaki kanan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, bagaimanapun murid tahun empat itu dilaporkan stabil ketika dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans.

Dalam pada itu, Mohd. Iqbal meminta saksi di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Zulkifli Razak di talian 019-4475767. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×