BATU PAHAT: Pertanyaan spontan Eusof Abdul Fatah, 5, kepada Mohammad Haikal Mahfuz, 24, mengenai ibunya, Allahyarhamah Mila Sharmila Samsusah sebaik sahaja melintasi lobi awam di mahkamah majistret di sin mencetuskan rasa sebak orang ramai yang mengikuti perbicaraan itu.
Malah, pertanyaan ‘Uncle (pakcik), mana mummy (ibu)?’ kepada Mohammad Haikal yang menghadapi pertuduhan membunuh Mila Sharmila atau Bella membuatkan ada orang awam datang memeluk dan mencium kanak-kanak itu kerana simpati.
Menurut ibu saudaranya, Norhisham Samsusah, 37, Eusof sering bertanyakan tentang ibunya selepas mula memahami situasi yang berlaku.
Walaupun sudah memulakan persekolahan kelmarin, dia tetap membawa anak saudaranya ke mahkamah yang berhajat bertanya sendiri kepada Mohammad Haikal tentang ibunya.
“Dia selalu tanya di mana ibunya, saya hanya mampu berkata uncle Haikal telah membawanya ‘pergi’ sebelum menyuruhnya bertanya sendiri kepada lelaki itu.
“Tidak sangka dia secara spontan bertanya kepada Mohammad Haikal dan ia membuatkan kami sebak kerana memahami isi hatinya yang inginkan belaian kasih sayang seorang ibu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding sebutan semula kes pembunuhan Bella di Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam.
Dalam pada itu, ketibaan Ramadan dan Syawal kira-kira sebulan lagi membuatkan keluarga Bella bersedih kerana kebiasaannya mereka akan berbuka puasa secara beramai-ramai pada hari pertama.
“Kebiasaan Bella yang paling teruja untuk menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal dengan membelikan anak-anaknya pakaian baharu.
“Kini semua itu tidak berlaku lagi dan hanya tinggal kenangan kami sekeluarga,” ujar Norhisham.
Sementara itu, mahkamah menetapkan 22 April ini bagi mendengar permohonan kes perbicaraan terhadap Mohammad Haikal yang didakwa membunuh Mila Sharmila di Mahkamah Tinggi Muar.
Majistret Suhaila Shafi’uddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid memaklumkan sudah menerima laporan forensik berkaitan kes.
Tarikh berkenaan turut dicadangkan oleh peguam tertuduh, Syahril Anuar dan tidak mendapat bantahan daripada pihak pendakwaan dan peguam pemerhati keluarga Mila Sharmila, Aminatul Mardiah dan Hafidzah Hassan.
Sebelum itu, Mohammad Haikal tiba di mahkamah kira-kira pukul 8 pagi dengan kawalan ketat pasukan keselamatan.
Turut kelihatan ahli keluarga Bella yang menanti di pekarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat bagi mengikut kes tersebut.
Pada 24 Januari lalu, Mohammad Haikal, bekas posmen didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan membunuh ibu tunggal anak dua itu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Dia didakwa membunuh Mila Sharmila antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah pada 14 Disember 2023.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










