PETALING JAYA: Pasaran produk halal berasaskan sarang burung kini semakin berkembang dengan kemampuan menembusi sektor peruncitan sama ada di negara ini dan negara Asia Tenggara.
Pengasas syarikat FG Walet, Zhafou Global Sdn. Bhd. Fouziah Gous berkata, ia disebabkan faktor keyakinan terhadap pensijilan halal di Malaysia yang mempunyai tahap kualiti tinggi.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat membuka peluang kepada syarikat yang mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menembusi pasaran terutama di peringkat antarabangsa.
“Syarikat pengeluar dapat meletakkan industri ini sebagai sektor yang berdaya saing dan menguntungkan pada masa hadapan.
“Malah, syarikat kami sendiri kini berjaya menjalinkan kerjasama dengan sektor peruncitan lain untuk meluaskan platform pasaran bagi mengedarkan produk baharu antaranya minuman penggalak kulit.
Dalam pada itu, Fouziah berkata, pihaknya kini menjalinkan kerjasama dengan rangkaian peruncitan MyNews menerusi produk baharu keluaran syarikatnya.
Kami mengeluarkan produk siri penggalak kulit premium FG Walet di semua rangkaian kedai serbaneka itu yang secara tidak langsung dapat membantu memudahkan akses pengguna mengamalkan gaya hidup sihat.
“Pemilihan produk kami di Mynews adalah kerana jenama yang semakin kukuh di pasaran ekoran pengembangan pasaran di beberapa platform peruncitan, ” katanya.
Dalam pada itu katanya, syarikat telah menembusi rangkaian peruncitan di negara luar seperti Brunei, Singapura dan Vietnam untuk menjual produknya kepada pelanggan.
Produk terdiri daripada dua kategori iaitu The Premium Birds Nest With Extra Collagen and Rock dan The Premium Birds Nest with Collagen and-L Cysteine ditawarkan pada harga Rm12.90 sehingga RM14.90. – UTUSAN










