Malaysia menuju status negara maju - Utusan Malaysia

Malaysia menuju status negara maju

MOHD. Zuki Ali (dua dari kiri) melakukan gimik pada Majlis Perasmian Persidangan MyMudah Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Malaysia berada di landasan tepat menuju status negara maju dan berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun, selari dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, kedudukan Malaysia di mata dunia menjadi bukti keberkesanan kepimpinan, dasar dan tindakan strategik menjurus kepada pencapaian sasaran itu.

Beliau berkata, Malaysia naik dari tangga 32 ke tangga 27 dalam ‘World Competitiveness Ranking’ manakala tangga ke-36 dari 132 negara dalam Indeks Inovasi Global (GII) bagi tahun 2023.

Katanya, pencapaian berkenaan merupakan kerjasama semua pihak termasuk dari sektor awam dan swasta yang perlu diperkukuhkan pada masa akan datang agar matlamat negara boleh dicapai.

“Aspirasi kerangka Ekonomi Madani mahu Malaysia berada antara 30 negara kuasa besar ekonomi dunia serta 12 negara paling berdaya saing dalam tempoh 10 tahun dan kita di landasan tepat ke arah itu.

“Menerusi laporan GII untuk tahun 2023, Malaysia kekal di kedudukan ke-36 dengan peningkatan skor keseluruhan iaitu 40.9 mata berbanding 38.7 mata pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, tahap produktiviti pekerja juga meningkat daripada RM95,858 pada 2022 kepada RM96,692 untuk tahun ini manakala bilangan pekerja naik 2.5 peratus dari tahun ke tahun seramai 16.3 juta orang,” katanya.

Mohd. Zuki berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Perasmian Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, peningkatan jumlah pekerja itu menggambarkan tahap kestabilan pasaran tenaga kerja, perkembangan baik aktiviti ekonomi serta trajektori positif peluang pekerjaan.

Sementara itu, tambahnya, kerajaan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperuntukkan RM1.5 bilion untuk program menjana pendapatan kepada golongan sasar.

Menurutnya, pengenalan Pengkalan Data Utama (PADU) antara usaha mempercepat usaha menoktahkan kemiskinan tegar dengan memastikan bantuan subsidi benar-benar sampai kepada sasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×