Terserah 6 ahli Parlimen kosongkan kerusi – PM

Terserah 6 ahli Parlimen kosongkan kerusi – PM

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan anggota polis semasa hadir ke Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. – MINGGUAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terse­rah kepada enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyatakan sokongan terhadapnya sama ada mahu mengo­songkan kerusi mereka atau sebaliknya.

Perdana Menteri berkata, per­soalan itu sepatutnya dijawab Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencabarnya mengosongkan tujuh kerusi tersebut bagi membuktikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut menyifatkan Muh­yiddin sebagai ‘kepala lom­pat parti’ dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin bekas Perda­na Mente­ri itu sudah hilang sokongan.

“Kepala parti lompat (Muh­yiddin) mahu cadang orang? Terpulang kepada ahli Parlimenlah. Kenapa tanya saya?

“Dia yang pakar pergi lompat dan scheme of things. Itu dia patut jawab. Orang sudah hilang keyakinan kepada Bersatu,” katanya selepas Program Lawatan dan Ramah mesra ke Ibu pejabat Polis (IPD) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Muhyiddin terhadapnya untuk mengosongkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN supaya pilihan raya boleh diadakan dengan segera.

Terdahulu di KUALA LUMPUR, Muhyiddin ketika berucap pada majlis Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional 2024 berkata, cabaran itu dibuat ekoran sokongan yang diberikan oleh tujuh wa­kil rakyat parti tersebut kepada Anwar sekali gus bertentangan dengan prinsip parti.

Katanya, kekuatan setiap par­ti akan diuji menerusi pilihan raya yang dibuat dan beliau ya­kin sokongan rakyat masih ber­pihak kepada mereka meskipun berada di blok pembangkang.

“Saya hendak beritahu Perdana Menteri, buatlah apa pun. Tindakan itu tidak akan me­ngu­bah tanggapan negatif rakyat kepada kerajaan yang gagal mentadbir negara dengan baik.

“Rakyat tahu sandiwara ka­mu. Rakyat tahu tujuan kamu. Jika berani, isytiharkan enam kerusi parlimen dan satu kerusi DUN Selangor kosong. Kita kembalikan mandat kepada rakyat dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×