Ketua jabatan jangan abai tugas - Utusan Malaysia

Ketua jabatan jangan abai tugas

Peguam Datuk Mohd. Haaziq Pillay Abdullah saran pemberi rasuah juga perlu didakwa dan dihukum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan penahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan seramai 52 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana melindungi kegiatan pengusaha lori yang melanggar pelbagai kesalahan lalu lintas dari 2019 hingga 2020.

Kegiatan rasuah itu telah lama berlaku di kebanyakan jabatan kerajaan, namun tidak berjaya diambil tindakan disebabkan kurang kerjasama daripada pimpinan jabatan terbabit. Mereka tidak serik, tidak takut dan kegiatan tersebut masih berlaku secara berleluasa walaupun banyak kali serbuan dan tangkapan dibuat oleh SPRM.

Kejadian sebegini menunjukkan bahawa masalah integriti bukan sahaja terjadi pada penjenayah, tetapi juga dilakukan penguat kuasa sendiri. Bukan rahsia lagi bahawa rasuah di JPJ berlaku di pelbagai peringkat jabatan. Kuasa sentiasa digadai dan dibayangi dengan godaan rasuah.

Masalah serius membelenggu penjawat awam terutama agensi penguat kuasa ketika ini ialah berkaitan isu integriti yang bukan sahaja terjadi dalam kalangan kakitangan bawahan, bahkan turut membabitkan pegawai atasan.

Skuad khas sebuah media tempatan mendedahkan bahawa sebahagian besar anggota penguat kuasa JPJ di sebuah negeri dikesan mengutip wang rasuah daripada pemilik syarikat lori untuk diberi kepada pegawai atasan mereka bagi tujuan berhibur. Malah, pada masa sama, anggota terbabit menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi selain menampung aktiviti hiburan pegawai atasan yang datang ke negeri itu atas sesuatu tugasan.

Ada beberapa kajian bahawa pegawai dan anggota agensi penguat kuasa hidup mewah di luar kebiasaan. Malah dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) mengakui gejala rasuah bersistematik itu berlaku dan rangkaian kutipan wang biasanya membabitkan pegawai dari bawah sampai ke atas.

PELUANG

Kenyataan di atas sah bilamana pada 20 Mac lalu, Timbalan Pengarah JPJ Perlis direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah dan melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan.

Mengikut teori fraud, rasuah berlaku disebabkan tiga faktor iaitu mengejar peluang melalui kuasa yang ada, tekanan hidup disebabkan berhutang serta berjudi dan proses rasionalisasi iaitu bila melihat orang atas melakukan rasuah, orang bawahan turut melakukan perkara sama.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, operasi ke atas JPJ tersebut merupakan hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya Ketua Pengarah dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan tersebut. Ini juga disahkan oleh Ketua Pengarah JPJ dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan hasil negara.

Tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan salah laku pegawai dan anggota kerana boleh menjejaskan reputasi agensi dan nama baik jabatan itu berhubung aspek integriti.

Inisiatif itu tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutama dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri dan penunjuk contoh oleh Ketua Pengarah JPJ sendiri yang sentiasa istiqamah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.

SPRM perlu kerjasama daripada jabatan-jabatan dengan memberi maklumat bagi membenteras kegiatan rasuah. Ketua jabatan tidak harus melindungi pegawai atau kakitangan yang terlibat dengan rasuah. Perasuah ini ialah parasit yang bukan sahaja merompak hasil kerajaan bahkan merosakkan imej jabatan dan negara.

PUJI

Adalah difahamkan pimpinan JPJ, Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan agensi yang sangat membantu SPRM dalam menjayakan matlamat mengurangkan rasuah di jabatan masing-masing. Ini satu permulaan yang baik dan patut dipuji.

Ketua jabatan yang mengambil tindakan dalaman untuk menghapuskan rasuah harus diberi galakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan ganjaran oleh kerajaan. Sepatutnya jabatan lain juga tampil membantu dan sama-sama berani membongkar kegiatan rasuah di jabatan masing-masing.

Namun, kita boleh berbangga kerana SPRM pimpinan Azam sentiasa menjalankan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab hingga kes rasuah berkenaan berjaya dibongkar dan dibawa ke muka pengadilan.

Usaha membanteras rasuah dalam agensi penguat kuasa bukan sesuatu yang mudah untuk dibongkar tanpa mendapat maklumat dalaman dan kerajasama yang bersungguh sunguh ketua jabatan. Kerjasama sebegini sangat sukar diperoleh. Mereka lebih rela mempertahankan pegawai dan menjaga imej jabatan. Adakala mereka sendiri tumpang sekaki terjebak dengan aktiviti tidak baik.

Sepatutnya JPJ hendaklah memberi tekanan kepada usaha pencegahan. Maknanya rasuah masih berlaku dan ia membuktikan bahawa kurang atau tiada langsung keutamaan mekanisme pencegahan. Datuk Seri Azman Ujang, seorang tokoh pejuang antirasuah sentiasa percaya bahawa walaupun tangkapan adalah tindakan paling mudah tetapi hakikatnya rasuah telah berlaku.

Pencegahan di rasuah dalam kalangan agensi kerajaan teruatama sekali agensi penguat kuasa wajib diperkasakan untuk mengurangkan kegiatan rasuah dalam jangka masa panjang manakala tangkapan adalah strategi jangka pendek.

TEKNOLOGI

Setiap ketua jabatan perlu melaksanakan pemantauan dan menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas pegawai dan anggota dari semasa ke semasa bertepatan dengan konsep turun padang.

Beri perhatian pada red flag dari segi prestasi, sikap dan tingkah laku terutama mereka yang tidak bertanggungjawab, menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah. Apa saja sistem dan teknologi yang terkini digunakan tidak akan efektif jika pengendalinya tidak mempunyai integriti.

Kerajaan boleh mempertimbang untuk melaksanakan peruntukan ala kesalahan Liabiliti Jenayah Korporat kepada sektor awam seperti ‘misconduct of public office’ yang diamalkan di Hong Kong yang membawa hukuman maksimum tujuh tahun penjara kepada pesalah. Peruntukan itu membolehkan tindakan dikenakan kepada ketua jabatan yang sengaja mengabaikan perlaksanaan tugas serta tanggungjawab atau melakukan salah laku jenayah.

Oleh itu, kerajaan memerlukan peruntukan seumpama ini bagi menghukum dan mencegah rasuah. Setakat ini boleh dikatakan hukuman tatatertib sedia ada kurang berkesan.

DATUK Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×