PETALING JAYA: Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa kerajaan cuba menutup mulut ahli parlimen pembangkang melalui saman sivil mahkamah.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, laporan polis yang dibuat adalah satu cara untuk menakutkan ahli-ahli parlimen pembangkang bagi mengheret ke mahkamah apabila melakukan pendedahan-pendedahan bagi kepentingan rakyat.
“Saya telah membacakan laporan polis dalam satu sidang media di Parlimen Malaysia berkenaan tindak tanduk bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador pada 14 November lalu. Dia marah dan failkan saman terhadap saya pada 22 Januari 2024.
“Tuntutan ini adalah tidak berasas sama sekali. Inilah sifat Kerajaan Madani hari ini di mana pendedahan pembangkang melalui laporan polis cuba disekat melalui saman sivil mahkamah.
“Perkara ini telah dikendalikan para peguam di mahkamah. Apakah ini semua usaha untuk menakutkan dan menutup mulut masyarakat dari mengkritik kerajaan pincang ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Semalam, Datuk Farhash Wafa Salvador memfailkan saman fitnah terhadap Wan Ahmad Fayhsal dan menuntut ganti rugi RM10 juta melalui firma guaman, Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co pada 22 Januari lalu di Mahkamah Tinggi.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Wan Ahmad Fayhsal didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mengenai Farhash Wafa di pekarangan Parlimen pada 14 November 2023.
Wan Ahmad Fayhsal menegaskan perkara ini tidak akan mengganggu beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat.
“Saya tegaskan saman ini tidak akan menjejaskan fokus dan tumpuan saya daripada terus bersuara mengenai isu-isu rakyat dan kepentingan awam,” katanya. – UTUSAN











