Jahit manik boleh raih pendapatan empat angka

Jahit manik boleh raih pendapatan empat angka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGLIBATANNYA dalam dunia jahitan manik 11 tahun lalu bermula secara tidak dirancang.

Ketika itu, Rohaya Abdul Halim, 34 berkhidmat sebagai eksekutif keanggotaan di sebuah koperasi di Medan Tuanku, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), lokasi sinonim sebagai lubuk tudung dan barangan perkahwinan.

“Setiap hari melalui deretan kedai menjual segala macam manik dan labuci, setiap kali itulah saya terpesona dengan keindahannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada 2013, saya terdetik mahu belajar menjahit manik. Tanpa berfikir panjang saya beli beberapa
renda tampal serta manik sebagai percubaan pertama,” katanya kepada Seri, berbicara mengenai kemahirannya menjahit manik dan labuci sebagai aksesori menyeri busana Melayu baru-baru ini.


Biarpun tiada asas jahitan tetapi minat yang tinggi membolehkan ibu kepada seorang cahayamata ini menguasai kemahiran itu dalam masa singkat.

Menariknya, ilmu jahitan manik diteroka secara cuba dan ralat berdasarkan pemerhatiannya sahaja.

“Macam tidak percaya saya ada bakat menjahit manik bila tengok hasilnya, sedangkan saya tidak pernah mengikuti sebarang kelas atau latihan khusus.

“Apabila sudah ada anak, masa makin terbatas dan semua ilmu itu terpaksa dipelajari sendiri sahaja,” katanya yang kini menetap di Seri Iskandar.

Bagi memudahkan kerja-kerja menjahit manik, Rohaya turut menyediakan studio khas di kediamannya yang diinspirasikan daripada pereka fesyen, Zaimi Zulkifli.

Katanya, sebagai seorang yang introvert, dia memerlukan ruang tenang untuk berkarya.

“Walaupun hanya surirumah, saya tetap boleh bekerja dengan adanya bilik khas. Rumah pun tidak bersepah dengan barangan jahitan,” katanya.

Rohaya yang selesa menjahit pada waktu malam berkata, menariknya hobi berkenaan tidak melibatkan kos yang terlalu tinggi dan boleh dilakukan secara santai.

Bahkan, peralatan diperlukan seperti jarum khas, benang dan ram turut mudah dibeli di kedai.

Manakala harga-harga manik pula bermula serendah RM4 untuk satu pek kecil mengandungi 10 biji manik halus.


KENA SABAR, KREATIF
Memiliki hobi di bidang fesyen mendorong Rohaya untuk sentiasa kreatif dalam menghasilkan rekaan unik dan seiring aliran semasa.

Kebanyakan inspirasi diperolehi daripada video-video di laman sosial di samping ilham pereka tempatan dan antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, menjahit manik buatan tangan menuntut ketelitian dan kesabaran kerana jika jahitan senget, ia perlu ditetas semula.

“Ada orang gemar gamkan manik sebelum dijahit, tetapi saya tidak buat begitu kerana akan meninggalkan kesan pada kain.

“Oleh itu, mustahak untuk kita mengenal pasti tahap sensitiviti kain terlebih dahulu bagi mengelakkan kerosakan apabila proses jahitan bermula,” katanya yang melakar setiap rekaan sebelum menjahit.

Untuk memastikan simetri, Rohaya mengira manik secara tepat, contohnya jika daun menggunakan 20 biji (manik), maka semua bentuk tersebut memerlukan bilangan sama.

Bukan itu sahaja, jarak antara motif turut diukur terutama bagi rekaan berterabur dan bertompok-tompok pada badan.

Kata Rohaya, menjahit manik lebih mudah pada baju polos kerana rekaan yang timbul.

“Sebenarnya jenis material dan warna baju memainkan peranan dalam jahitan manik.

“Bagi fabrik bercorak, rekaan manik perlu lebih ekstra untuk menonjolkan lagi bentuk-bentuk yang dihasilkan,” katanya.

Ujarnya, proses menjahit manik yang ringkas tidak mengambil masa panjang dan boleh disiapkan kira-kira dua jam.

Namun, bagi yang rumit dan sarat seperti baju kahwin, tempoh seminggu diperlukan untuk menyelesaikan tugasan itu.


TEMPAHAN DALAM TALIAN
Konsep tempahan yang dijalankan Rohaya adalah secara dalam talian kerana tidak memiliki premis kedai.

Selain pelanggan tetap, dia turut meraih pelanggan baharu menerusi laman sosial, TikTok dan Instagram.

Pelanggan perlu mengepos baju terlebih dahulu dan busana itu akan dikembalikan semula selepas jahitan manik selesai.

“Lebih mudah jika pelanggan dapat nyatakan bajet dan gambar manik idaman mereka untuk saya buat inspirasi rekaan yang bersesuaian.

“Jangan bimbang kerana harga adalah berpatutan daripada serendah RM150 hingga RM600 sahaja,” katanya.

Sekali pun ada permintaan untuk menghasilkan rekaan yang rumit, namun Rohaya tidak menolak untuk membuatnya.

“Saya anggap ini medan pembelajaran dan cuba selesaikan tugasan dengan sehabis baik.

“Biasanya, contoh gambar diberikan pelanggan itu hanya sebagai inspirasi dan tidak akan sama dengan yang siap kelak,” katanya yang sinonim dengan rekaan menjalar dan manik gantung.

Dalam perkembangan sama, katanya, jahitan manik yang cantik memerlukan sekurang-kurangnya lima jenis material berbeza seperti manik halus Jepun, kristal, pagoda dan montee.


Terima 40 pasang tempahan raya
DISEBABKAN fenomena manik dan renda yang melonjak pada 2013, Rohaya memberanikan diri mengambil tempahan pelanggan.

Pada peringkat awal, fokusnya cuma pada renda tampal dan menjahit manik pada layah pengantin. Selepas berkahwin dan berhenti kerja pada 2014, dia terlibat pula dalam jahitan manik pukal melibatkan jenama tudung termasuk dari Singapura sehingga 2019.

Kini, sebagai surirumah dan ibu, hobinya tertumpu pada jahitan manik pada busana kahwin, raya dan konvokesyen.

Pada Aidilfitri ini, Rohaya menerima 40 tempahan dari pelanggan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Terengganu.

“Sambutan amat menggalakkan hinggakan slot raya terpaksa ditutup lebih awal kerana risau tidak menang tangan.

“Antara rekaan trending ialah motif songket dan manik gantung atau juntai. Walaupun minimalis tetapi ada elemen eksklusif,” katanya yang mampu meraih RM4,000 pada musim perayaan.


Kata Rohaya, sentuhan hiasan manik mampu mengubah keseluruhan penampilan baju dan tampak lebih berseri, menyerlah serta wow.

Justeru, tidak hairanlah apabila ramai wanita sanggup melabur ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan busana berkilauan indah dek manik dan labuci.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini