Beri rakyat kesedaran celik kewangan

Beri rakyat kesedaran celik kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAWATAN besar sudah tentu datang bersama tanggung jawab besar yang harus dipikul.

Sebagai ‘orang tengah’ antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan rakyat,

Nimmi Kamal memainkan peranan penting dalam memberi kesedaran mengenai literasi kewangan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ini selari dengan mandat syarikat untuk memperkayakan kehidupan Bumiputera dan semua rakyat Malaysia demi kemakmuran negara.

Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan PNB ini berkata usahanya kini tertumpu untuk menggalakkan rakyat mempunyai simpanan untuk masa depan.

“Saya faham keadaan pada ketika ini sangat sukar dan ramai yang susah untuk menyimpan.

“Tetapi kami di sini ingin memberikan kesedaran betapa pentingnya pengurusan kewangan yang baik dan mempunyai simpanan.

“Tidak salah untuk menggunakan simpanan ketika waktu terdesak tetapi apabila kita mempunyai sedikit wang eloklah menabung kembali untuk
keselesaan hari tua. Sebagai wanita atau ibu, kita juga perlu memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak tentang kepentingan menyimpan wang,” katanya kepada Seri.

Tahun lalu, media melaporkan simpanan masa depan rakyat, membimbangkan.

Majoriti rakyat dikatakan berisiko tidak cukup simpanan persaraan manakala 84 peratus tiada simpanan tetap setiap bulan.

BANYAK KELEBIHAN

Sedangkan, kata Nimmi, negara memiliki syarikat pengurusan unit amanah seperti Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) yang dikendalikan PNB.

ASNB menawarkan tabung unit amanah harga tetap antaranya Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) sertaAmanah Saham Bumiputera 3 – Didik (ASB 3 Didik).

Kelebihan itu membolehkan rakyat melabur dengan jumlah yang sedikit sahaja tetapi mampu memberikan keuntungan dalam jangka masa panjang.

“Tidak perlu pun melabur beratus atau beribu, cukup dengan hanya RM10 sahaja.

“Bila buka ASB, duit itu cuma akan berganda dan tidak akan berkurang. Ia adalah produk yang paling selamat.

“Kalau saya bercakap dengan orang asing tentang ini mereka akan tanya bagaimana hendak melabur tetapi ini memang untuk
rakyat Malaysia sahaja. Di mana-mana pun tidak akan jumpa kelebihan seperti ini,” jelasnya.

Tambahnya, memandangkan PNB juga mempunyai pelaburan dalam syarikat seperti Maybank, Sime Darby dan PROLINTAS, maka secara tidak langsung
pelabur turut menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat-syarikat berkenaan.

Justeru, beliau komited dengan matlamat yang telah diperbaharui iaitu ‘Mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi’.

“Kami berazam untuk terus menjadi jenama dipercayai pada saat paling penting dalam hidup mereka dan perjalanan mereka ke arah masa depan yang lebih baik dari aspek kewangan dan kebijaksanaan,” katanya.

Tuaian hasil kerja keras

PERTEMUAN kami pada petang itu cukup santai dengan penampilan beliau yang anggun dengan set blazer formal
berwarna gelap.

Aura korporatnya dapat dilihat jelas dengan rambut yang disisir rapi menonjolkan peribadinya yang kemas.

Biarpun tutur katanya lembut dan bersahaja, namun terselit semangat kental dalam diri anak jati Kuala Lumpur ini dalam membina kejayaannya hari ini.

Melalui perkongsiannya, tidak keterlaluan jika saya katakan beliau mempunyai semangat juang yang tinggi untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya diceburinya.

Portfolionya bukan calang-calang. Di awal pembabitannya dalam bidang kewangan pada tahun 2000, beliau pernah bertugas sebagai Eksekutif Kanan, Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Kumpulan di Rashid Hussain Berhad (RHB) Management Sdn. Bhd.

Beliau seterusnya mengembangkan lagi kerjayanya dalam pelbagai industri di dalam dan luar negara termasuk bertugas sebagai pengurus besar,
ketua hal ehwal korporat negara untuk syarikat minyak dan gas serta bank antarabangsa di Malaysia, Filipina, Bahrain dan Dubai.

Perjalanan kariernya membuktikan beliau seorang yang gemarkan cabaran selain tidak gentar mencuba perkaraperkara baharu.

Bagi pemegang Ijazah Sarjana Pemasaran dari Southeast Missouri State UniversityHarrison College of Business and Computing ini, setiap hari adalah proses pembelajaran untuk memperbaiki diri ke tahap yang lebih baik.

“Saya pernah keluar sebentar daripada bidang kewangan dan bekerja dengan syarikat minyak dan gas.

“Pada awalnya ia agak sukar dan saya terfikir mengapa saya memilih jalan ini tetapi saya fikir jika tidak cuba, tidak tahu.

Akhirnya dengan usaha dan sistem sokongan yang betul saya dapat mengatasinya,” katanya.

Nimmi turut pernah menyahut cabaran untuk berhijrah ke Asia Barat bagi membuka cawangan bank baharu yang ketika itu hanya beliau seorang sahaja wanita dalam kumpulan seramai 60 orang.

“Wanita yang ingin mencapai tahap karier yang lebih baik, perlu tahu apa yang diingini dan berhenti meragui diri sendiri.

“Sebaliknya cuba sahaja peluang yang ada. Tidak perlu takut dengan kegagalan, anggap ia sebagai satu pelajaran dalam hidup.

“Jangan ada sangkaan unconscious bias dan menganggap kerjaya itu hanya untuk lelaki dan kerjaya ini untuk perempuan. Sekarang wanita sudah setanding lelaki dalam kerjaya,” ujarnya.

Lelaki tegasnya, boleh menyokong pemimpin wanita dengan menggalakkan kesaksamaan jantina, menyokong kepelbagaian dan mewujudkan
persekitaran inklusif.

“Saya beruntung kerana PNB memupuk budaya kerjaya inklusif. Antaranya di bawah Komitmen #6 PNB dalam Rangka Kerja Kelestarian yang dilancarkan dua tahun lalu, PNB menyasarkan untuk mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus wanita dalam pasukan kepimpinan menjelang 2025.

“Pada masa ini, kami mempunyai lebih 30 peratus perwakilan wanita dalam pengurusan kanan. Kami percaya kami boleh melakukan dengan lebih baik dan menetapkan sasaran lebih tinggi untuk mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus wanita dalam kepimpinan kami menjelang 2025,” jelasnya.

Nimmi berkata, PNB kini sedang dalam proses untuk menubuhkan sebuah kumpulan wanitanya (PNB Women Circle) untuk membina rangkaian
sokongan bagi pembangunan profesional wanita, bimbingan dan pemerkasaan dalam organisasi.

Ia merupakan satu inisiatif yang boleh menyumbang kepada memupuk budaya tempat kerja yang lebih inklusif dan pelbagai.

Pernah dianggap ‘gila’ sebab ibu

BIARPUN optimis mengejar kerjaya dalam bidang yang diminati, namun anak bongsu daripada empat beradik ini tetap mengutamakan keluarga dalam setiap sudut.

Pernah suatu ketika beliau dianggap ‘gila’ kerana ingin meninggalkan kerjaya demi kepentingan ibunya.

Ketika itu, beliau yang bekerja di sebuah bank antarabangsa ditempatkan di Timur Tengah bagi menguruskan cawangan di sana.

Selepas enam tahun berada di sana, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air apabila melihat keadaan ibu yang semakin dimamah usia.

“Waktu itu bos saya anggap saya ‘gila’ kerana biasanya tiada yang mahu pulang ke tanah air jika sudah berjaya mengembangkan kerjaya di sana tetapi saya pula sebaliknya.

“Namun, saya memikirkan tentang keadaan ibu. Ketika berada di negara itu, ibu saya akan datang melawat setiap enam bulan, jadi setiap kali itu saya lihat ibu semakin tua dan sukar untuk berjalan.

“Pada tahun yang sama juga ada dua rakan sekerja saya yang kematian ahli keluarga di Malaysia. Jadi, saya fikir tidak mengapa saya pilih keluarga dahulu, tentang kerjaya saya akan bina semula kemudian,” jelasnya yang kini menggalas tanggungjawab menjaga ibunya yang
berusia 85 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×