Ibu telan 36 biji ubat sehari, jaga tiga anak OKU

Ibu telan 36 biji ubat sehari, jaga tiga anak OKU

ASMARIANA Othman (kanan) dan suami tabah menguruskan ketiga-tiga anak mereka di Kampung Bechah Mulong, Peringat, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang ibu dari Kampung Bechah Mulong, Peringat di sini tabah menjaga ketiga-tiga anaknya orang kelainan upaya (OKU) walaupun menghidap ketumbuhan pada kelenjar buah pinggang sejak tiga tahun lalu.

Asmariana Othman, 39, ma­sih terus bertahan dengan bergantung kepada 36 biji ubat se­tiap hari selain perlu mendapatkan rawatan susulan di klinik tiga kali seminggu.

Asmariana berkata, meskipun agak sukar, namun suaminya, Mohd. Amazun Mohd. Noor, 54, turut membantunya dalam me­nguruskan ketiga-tiga anaknya sebelum keluar bekerja.

“Kami dikurniakan Nurul Iman Mohd. Amazun, 16, yang mengalami masalah pembe­la­jaran, anak kedua, Ahmad Muhaimin Nazmi, 8, masalah ketidakupayaan fizikal, dan anak bongsu, Ahmad Adam Daniel, 6, menghidap Sindrom Child sejak lahir selain tumbesarannya juga terbantut.

PENJAGAAN

“Kesemua mereka ini tidak mampu menguruskan diri sendiri dan memerlukan penjagaan setiap masa termasuk menukar lampin pakai buang serta penyediaan susu khas dan makanan tertentu,”katanya ketika ditemui dirumahnya di Kampung Bechah Mulong, Pe­ringat di sini semalam.

Asmariana memberitahu, sebelum keluar bekerja, suaminya yang merupakan pembantu am rendah di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan membantu menguruskan anak-anak serta menghantarnya ke klinik terlebih dahulu.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan harian serta ke­perluan anak-anak yang sangat tinggi, suaminya melakukan ker­ja sampingan pada sebelah malam dengan menjadi pemandu kenderaan perkhidmatan awam (e-hailing).

“Walaupun agak penat, kami terpaksa berkorban demi kelangsungan hidup memandangkan kami tidak menerima apa-apa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Kos perbelanjaan untuk ketiga-tiga anak kami sangat tinggi iaitu hampir RM2,500 sebulan kerana mereka terpaksa bergantung kepada lampin pakai buang, susu dan makanan khas,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada keluarga ini boleh terus menyumbang ke akaun Maybank milik Asmariana yang bernombor 153131046791 atau menghubunginya di talian 017-4817986. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×