PETALING JAYA: Stereotaip mengatakan wanita lemah, lebih beremosi dan tidak sesuai untuk menjadi pemimpin adalah punca kebanyakan wanita tidak meneruskan kerjaya pada peringkat lebih tinggi.
Pensyarah kanan, Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr. Ruhana Padzil berkata, pemahaman tentang kesaksamaan gender masih tipis dan selalu disalahertikan oleh masyarakat.
Menurut beliau, ini dapat dilihat terutama pada mereka yang tercabar dengan fahaman feminis kerana ia menekankan tentang kepentingan keadilan dan keseimbangan gender.
“Salah faham dan sosialisasi gender yang masih berdasarkan konsep lama, terlalu mengikut tradisi dan adat ternyata telah mengekalkan diskriminasi gender dalam masyarakat.
“Lelaki menjadi dominan kerana peranan tradisional dalam arena publik seperti penglibatan dalam politik, ekonomi dan dianggap sebagai pencari nafkah kepada keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan bukan sahaja golongan wanita lebih kebelakang berbanding lelaki dalam pekerjaan, jurang pendapatan antara jantina kini makin melebar apabila wanita dapat gaji 33 peratus kurang berbanding lelaki.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati jumlah pendapatan purata bagi wanita hanya RM42,080, berbanding pekerja lelaki yang mendapat RM63,117 bagi tahun 2022.
Mengulas lanjut, Ruhana berkata, beban berganda juga menjadi faktor diskriminasi gender terus berlaku sehingga kini.
Katanya, tanggapan wanita secara lumrah memiliki sifat memelihara, merawat, mengasuh dan rajin melakukan kerja rumah mengakibatkan semua pekerjaan domestik menjadi tanggungjawab wanita.
“Sosialisasi peranan gender, malah kepercayaan bahawa wanita bertanggungjawab sebagai ‘suri rumah’ selain bertanggungjawab melaksanakan semua kerja-kerja rumah.
“Sementara itu, secara sosialisasinya lelaki tidak rasa bertanggungjawab untuk menjaga rumah, malah secara tradisinya menjadi tabu untuk mereka melakukan pekerjaan yang dianggap sebagai ‘kerja’ dan ‘peranan’ wanita,” katanya. – UTUSAN










