GAZA: Berpuluh-puluh aktivis Israel memandu ke arah sempadan Gaza sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin sambil membawa bantuan makanan dan memakai baju T tertera slogan ‘Jangan biar Gaza kelaparan’.
Sejak awal pagi semalam, penunjuk perasaan berkumpul di stesen kereta api di Tel Aviv untuk membungkus lampin, susu formula bayi, gula, tepung, hidangan siap masak dan kurma yang disediakan kepada penduduk Palestin di Gaza bagi menyambut bulan Ramadan.
Konvoi 30 kenderaan itu sampai dalam jarak tiga kilometer dari lintasan sempadan Kerem Shalom sebelum polis Israel mengarahkan mereka berpatah balik.
Penganjur konvoi itu mengakui sudah menjangkakan akan dihalang polis Israel namun menegaskan usaha tersebut adalah tindakan simbolik mereka yang sudah tidak tahan melihat nasib rakyat Palestin kini.
“Matlamatnya adalah untuk menonjolkan suara yang berbeza dan menunjukkan ada orang dalam masyarakat kita yang merasakan apa yang berlaku di Gaza tidak boleh diterima,” kata Ahli kumpulan Stand Together, Nadav Shofet yang merancang demonstrasi itu.
Kebanyakan penunjuk perasaan memakai baju-T berwarna ungu dan mengikat reben kuning pada cermin sisi mereka sebagai simbol kempen untuk membawa pulang tebusan yang masih ditawan kumpulan pejuang Hamas di Gaza.
Hamas menawan kira-kira 250 tebusan pada 7 Oktober lalu dan Israel mendakwa 99 daripada mereka masih hidup di Gaza sementara 31 lagi sudah meninggal dunia.
“Perjuangan kami menentang Hamas adalah wajar. Tetapi kita tidak boleh mengabaikan bahawa terdapat berjuta-juta orang yang tidak bersalah di Gaza.
“Benar, kami berada dalam senario kesakitan melawan kesakitan. Hamas membunuh orang yang tidak bersalah, tetapi itu bukan sebab untuk melakukan perkara yang sama.
“Saya tidak boleh hidup sebagai orang Israel mengetahui pemimpin saya dan beberapa orang di sini tidak mahu rakyat Palestin di Gaza mempunyai makanan yang mencukupi dan membiarkan mereka kebuluran. Kami mahu hidup dalam kepimpinan yang demokratik dan bermoral,” kata ahli terapi pertuturan, Orly Shay Keslassy, 39.
Selepas polis mengarahkan mereka berpatah balik, penunjuk perasaan segera akur tetapi salah seorang penganjur, Roula Dawod berjanji dengan linangan air mata mereka akan tetap mencuba lagi.-AFP










