Biden arah tentera AS bina pelabuhan sementara di Gaza

Biden arah tentera AS bina pelabuhan sementara di Gaza

PENDUDUK Palestin berkumpul di kawasan pantai Deir el-Balah sambil menanti bantuan makanan yang disalur dari udara.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan pasukan tentera negara itu akan membina sebuah pelabuhan sementara di Gaza bagi memudahkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu melalui jalan laut.

Menurut beliau, pelabuhan sementara itu akan meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dengan ratusan muatan trak tambahan setiap hari.

“Saya sudah mengarahkan tentera AS untuk mengetuai misi kecemasan menubuhkan jeti sementara di Mediterranean di pantai Gaza yang boleh menerima penghantaran besar makanan, ubat air dan tempat perlindungan sementara.

“Jeti sementara akan membolehkan peningkatan besar-besaran dalam jumlah bantuan kemanusiaan yang diterima di Gaza.

“Kepada kepimpinan Israel saya tegaskan perkara ini. Bantuan kemanusiaan tidak boleh menjadi pertimbangan kedua atau cip tawar-menawar. Melindungi dan menyelamatkan nyawa yang tidak bersalah perlu menjadi keutamaan,” katanya dalam ucapan State of Union di Kongres semalam.

Bagaimanapun, jelas beliau, penubuhan pelabuhan sementara itu tidak akan melibatkan sebarang penghantaran tentera AS ke Gaza.

Menurut pegawai AS, penghantaran awal dijangka tiba melalui pelabuhan Larnaca di Cyprus, di mana pemeriksaan keselamatan Israel akan dilakukan.

Katanya, pihak Israel juga sudah dimaklumkan mengenai penubuhan pelabuhan sementara itu dan kedua-dua pihak akan bekerjasama mengenai keperluan keselamatan.

Pelabuhan itu dirancang untuk dikendalikan oleh rakan kongsi dan sekutu AS dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan bantuan yang akan terlibat menguruskan agihan di sekitar pesisir pantai.

Pengumuman yang dibuat Biden menggariskan ketegangan tekanan politik yang sedang dialami beliau berikutan sokongan teguhnya terhadap Israel, walaupun angka kematian dan krisis kemanusiaan di Gaza meningkat.

Minggu lalu, PBB memberi amaran  satu perempat daripada penduduk berada di ambang kebuluran.

Gaza tidak mempunyai pelabuhan dan Pegawai AS memberitahu  CBS, terdapat rancangan untuk jeti itu dipasang oleh unit tentera dipanggil Briged Pengangkutan ke-7 berpangkalan di Fort Story, Virginia yang akan direkrut untuk penempatan pantas.

Sementara itu, Naib Laksamana Tentera AS, Kevin Donegan memberitahu program World Tonight BBC, rancangan pelabuhan itu boleh dilaksanakan sepenuhnya namun menegaskan, penyampaian bantuan melalui darat masih paling berkesan dari segi jumlah barang yang boleh dibawa masuk.

Sejak beberapa hari lalu, AS dan negara lain terpaksa menggugurkan bantuan melalui udara tetapi masih  tidak cukup untuk memenuhi keperluan penduduk yang semakin mendesak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×