Pengunjung tinggalkan sampah sarap, cemarkan sungai

Pengunjung tinggalkan sampah sarap, cemarkan keindahan Sungai Ketil

SITI Aishah Mohd. Sabri menunjukkan bungkusan sampah yang dijumpainya di tebing Sungai Ketil ketika berkelah di Kampung Lubuk Pedati, Baling, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Sikap tidak bertanggungjawab pengunjung di kawasan perkelahan Sungai Ketil, Kampung Lubuk Pedati di sini menyebabkan beberapa lokasi di situ dipenuhi sampah sarap.

Pemandangan indah sungai yang jernih berlatarbelakangkan Gunung Baling dicemari bungkusan plastik sampah yang dibiarkan di tepi sungai, selain ada terendam di dalam air.

Pengunjung dari Tawar dekat sini, Siti Aishah Mohd. Sabri, 24, berkata, dia terkejut apabila melihat banyak sampah dibuang begitu sahaja sehingga mengotorkan kawasan perkelahan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya ke sini untuk bawa anak-anak mandi sambil me­nikmati suasana dan peman­dangan yang penuh kehijauan dan cantik. Namun, apa yang menyakitkan hati, sebaik saya turun dari kereta ke tapak perkelahan, saya lihat ada tiga bungkus plastik sampah besar di dalam sungai,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, banyak sampah yang dibuang di sepanjang sungai seperti botol kaca, tin, pencucuk lidi, plastik serta lampin pakai buang yang kotor dengan najis tersangkut pada kayu.

“Walaupun ada orang kampung yang menjaga kawasan perkelahan ini tetapi tanggungjawab memastikan kebersihan haruslah dipikul bersama.

“Pengunjung yang datang ke sini janganlah pentingkan diri sendiri, sediakan plastik sampah dan bawalah sampah itu keluar dari sini kerana ba­nyak tong sampah besar disediakan di luar sana,” ujarnya.

Pengunjung dari Pokok Sena, Bushro Mohd. Jamil, 26, pula memberitahu, dia datang ber­kelah di situ selepas melihat keindahan kawasan Sungai Ketil di kampung berkenaan menerusi media sosial.

“Namun, sayangnya sampah berselerak di beberapa tempat. Sampah-sampah itu ditinggalkan pengunjung yang berkelah di sini.

“Tidak sepatutnya tempat secantik ini dibiarkan kotor dan tercemar dengan sampah sarap dan sebagainya.

“Selain mencemarkan pemandangan, kita juga bimbang ia membawa mudarat seperti penyakit kencing tikus dan sebagainya,” ujarnya.

Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Ahmad Suhaily Hamid, 38, berharap para pengunjung mempunyai kesedaran untuk menjaga kebersihan di kawasan perkelahan itu dengan sebaiknya.

“Mungkin pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh kenakan kompaun terus kepada pengunjung yang didapati membuang atau meninggalkan sampah di sini sesuka hati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini