PUTRAJAYA: Kira-kira 1,200 penduduk Presint 8, di sini memohon pihak Majlis Wilayah Persekutuan (MAIWP) dapat meneruskan pembinaan Surau Ittifaqiyyah yang tertangguh sejak enam tahun lalu.
Projek pembinaan surau itu diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, malah majlis pecah tanah serta penyerahan sumbangan replika cek berjumlah RM6.5 juta dilaksanakan oleh bekas Wilayah Persekutuan pada April 2018.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkata, selepas Barisan Nasional (BN) tewas, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) ketika itu melalui MAIWP telah menarik balik kelulusan polisi projek ini.
“Ia sehinggakan MAIWP membuat dasar baharu bahawa mereka tidak lagi akan menanggung 100 peratus kos pembinaan mana-mana surau lagi dan ia akan menjadi tanggungan bersama dengan nisbah 60:40.
“Untuk mencari dana sendiri sebanyak 60 peratus itu adalah amat sukar. Apatah lagi peruntukan RM6.5 juta telah tersedia sejak tahun 2018, dan jika sudah tidak ada lagi, ke manakah wang ini disalurkan? Hak tetap hak. Ia perlu dikembalikan kepada Putrajaya,” katanya di sini semalam.
Mohd. Hisamudin berkata, warga Putrajaya menuntut MAWIP memulangkan semula dana yang diperuntukkan itu supaya projek pembinaan surau dapat diteruskan.
Katanya, sehingga tahun 2024, projek ini masih tergantung dan tidak tahu bagaimana statusnya.
“Surau amat penting kepada rakyat Putrajaya, sebagai pusat aktiviti keagamaan seperti kelas agama, fardhu ain, aktiviti korban dan khairat kematian.
“Surau berdekatan sudah penuh, dan pembinaan surau di kawasan ini amat diperlukan untuk komuniti di sini lebih-lebih lagi untuk menampung jemaah solat Jumaat,” katanya.











