Tahanan Palestin dipukul, diseksa tentera Israel

Laporan PBB dedah tahanan Palestin dipukul, diseksa tentera Israel

TENTERA Israel mengawal kenderaan mengandungi tahanan Palestin yang terikat dan ditutup mata di Gaza. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Laporan dalaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelaskan berlaku penderaan yang kejam terhadap tahanan-tahanan Palestin di pu­sat tahanan Israel termasuk dipukul, mendapat serangan anjing, penggunaan posisi tekanan yang berpanjangan dan serangan seksual.

Laporan itu disusun oleh Agensi Bantuan dan Pekerjaan PBB untuk Palestin (UNRWA) dan sebahagian besarnya berdasarkan wawancara tahanan Palestin yang dibebaskan di persimpangan Kerem Shalom sejak Disember lalu, ketika kakitangan UNRWA hadir untuk memberikan sokongan kemanusiaan.

Laporan berkenaan diedarkan dalam PBB dan dilihat oleh Guardian mengatakan bahawa hanya lebih 1,000 tahanan dibebaskan sejak Disember lalu.

4,000 DITANGKAP ISRAEL

Tetapi UNRWA meng­ang­garkan lebih 4,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak ditangkap di Gaza sejak permulaan konflik semasa yang dicetuskan oleh serangan Hamas ke selatan Israel pada 7 Oktober lalu yang membunuh kira-kira 1,200 warga Israel, kebanyakannya orang awam.

Israel menafikan dak­waan penyalahgunaan itu yang disifatkannya sebagai propaganda yang diilhamkan oleh Hamas.

Sebaliknya mereka menamakan 12 kakitangan UNRWA yang didakwa mengambil bahagian dalam serangan 7 Oktober lalu dan mendakwa bahawa 450 da­ripada 13,000 pekerja agensi itu di Gaza adalah ahli Hamas atau kumpulan pejuang lain.

Bagaimanapun, dakwaan itu yang sedang dikaji oleh PBB setakat ini tidak dapat dibuktikan.

Laporan UNRWA mengatakan bahawa kakitangannya ditahan ketika menjalankan kerja-kerja bantuan, mengalami penderaan dan diletakkan di bawah tekanan untuk memburukkan agensi itu.

ADA TAHANAN HIDAP KANSER

Laporan juga menyebut bahawa antara 1,002 tahanan yang dibebaskan sejak Disember lalu di persimpangan Kerem Shalom, terdapat 29 kanak-kanak seawal usia enam tahun (26 lelaki dan tiga perempuan), 80 wanita dan 21 kakitangan UNRWA.

Ada yang menghidap penya­kit kronik seperti Alzheimer atau pesakit kanser.

“Tahanan dilapor­kan dibawa menaiki trak ke berek tentera sementara yang menempatkan 100 sehingga 120 orang setiap seorang di mana mereka ditahan, selalunya selama beberapa minggu pada satu masa,” kata dokumen UNRWA dalam dakwaan pertama kali dilaporkan oleh New York Times.

Laporan itu mendakwa berlaku penderaan paling teruk di pusat tahanan dan soal siasat berjalan sebelum tahanan dipindahkan ke sistem penjara Israel.

Perundangan yang diluluskan oleh Kabinet Israel, Knesset sejak serangan Gaza bermula dan dilanjutkan selama tiga bulan pada Januari lalu, membolehkan perkhidmatan keselamatan menahan tahanan selama 180 hari tanpa memberikan akses kepada peguam.

LAYANAN BURUK

Laporan UNRWA berkata, kaedah layanan buruk yang dilaporkan termasuk pukulan fizikal, tekanan kedudukan paksa untuk tempoh masa yang lama, ancaman bahaya kepada tahanan dan keluarga mereka, serangan anjing dan penghinaan terhadap maruah peri­badi.

Selain itu, me­reka diperlakukan seperti haiwan atau diken­cing, penggunaan muzik dan bunyi yang kuat, kekura­ngan air, makanan, tidur dan tandas, penafian hak untuk mengamalkan ibadat dan penggunaan gari yang terkunci secara berpanjangan menyebabkan luka terbuka dan kecederaan geseran.

“Berlaku pukulan termasuk trauma tumpul pada kepala, bahu, buah pinggang, leher, belakang dan kaki dengan palang logam serta punggung pistol dan but, dalam beberapa kes me­ngakibatkan patah tulang rusuk, bahu terpisah dan kecederaan berpanjangan.

“Ketika berada di lokasi luar tapak, beberapa individu dilaporkan dipaksa masuk ke dalam sangkar dan diserang oleh anjing dengan beberapa individu termasuk seorang kanak-kanak menunjukkan luka gigitan anjing semasa dilepaskan,” dakwa laporan itu.

Dakwaan dalam laporan itu tidak dapat disahkan secara bebas tetapi konsisten dengan dokumen yang diberikan kepada Guardian dan dikumpulkan oleh organisasi hak asasi manusia.

Laporan itu termasuk dakwaan serangan seksual yang meluas, walaupun bukan rogol. Tahanan wanita melaporkan diraba sambil menutup mata dan beberapa banduan lelaki berkata mereka dipukul di bahagian kemaluan.

“Seorang lagi tahanan dilaporkan disuruh duduk di atas probe elektrik, menyebabkan melecur pada duburnya, parut yang masih boleh dilihat beberapa minggu kemudian.

“Dia menunjukkan bahawa seorang lagi tahanan juga me­ngalami tindakan yang sama dan meninggal dunia berikutan lukanya yang dijangkiti kuman,” kata laporan UNRWA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×