HARI ini kita berada pada 27 Syaaban. Bermakna, dua atau tiga hari lagi kita akan sampai ke bulan Ramadan, insya-Allah. Ramadan adalah bulan istimewa yang penuh dengan keberkatan dan amat ditunggu-tunggu oleh orang mukmin. Marilah kita berdoa agar Allah izinkan kita bertemu dengannya kali ini.
Ini dijelaskan oleh sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Sungguh telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkah. Allah mewajibkan kepada kamu sekalian untuk berpuasa. Pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka dan pintu neraka dikunci, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu ada suatu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Maka siapa yang tidak berusaha untuk mendapatkan kebaikannya, maka luputlah semua kebaikannya. (Muttafaq ‘Alaih)
Bertepatan dengan tibanya Ramadan, kita sedang berhadapan cuaca panas yang disebut fenomena El-Nino. Ia dijangka berakhir pertengahan tahun ini.
Sebenarnya, situasi itu bertepatan dengan Ramadan yang membawa maksud panas yang amat terik. Dinamakan demikian kerana pada bulan tersebut di kawasan tanah Arab kebiasaannya cuaca adalah panas, terik dan kering.
Maka makna panas tersebut diharapkan dapat membakar segala kekotoran dosa orang yang berpuasa dan yang menghidupkan ibadah di sepanjang Ramadan yang mulia ini.
Sebagai orang mukmin, sepatutnya kita gembira menyambut ketibaan Ramadan. Ia datang setahun sekali namun bukan semua yang direzekikan bertemu dengannya.
KEISTIMEWAAN RAMADAN
Bulan Ramadan mempunyai beberapa nama berdasarkan kepada kelebihan dan keistimewaannya. Nama-nama tersebut antaranya:
1.Saiyidus Syuhur (Penghulu sekalian bulan)
Oleh kerana al-Quran menyebut tentang Ramadan an terlalu banyaknya keistimewaan dan kelebihannya, ia mendapat gelaran penghulu sekalian bulan. Di dalamnya terkandung pelbagai ibadah iaitu puasa selama sebulan penuh, zakat fitrah, solat tarawih, malam al-qadar, nuzul al-Quran, tadarus al-Quran, kelebihan sedekah, qiamullail dan sebagainya.
2. Syahrul Syiam (Bulan Puasa)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Madrasah Ramadan selama sebulan bertujuan mencapai sifat takwa kepada Allah SWT. Dalam bulan ini, kita lebih cenderung melakukan amal ibadat kerana nafsu kita yang tidak makan lebih mudah dikawal berbanding ketika ia sentiasa ‘kenyang’.
Walaupun dibolehkan berbuka puasa bagi orang yang uzur atau bermusafir, Nabi SAW memberi peringatan melalui sabda baginda yang bermaksud: Sesiapa yang berbuka (tidak berpuasa) satu hari daripada bulan Ramadan dengan tiada uzur dan tiada sakit, nescaya tiadalah dapat diqada puasanya oleh puasa sepanjang masa walaupun dia melakukannya. (Riwayat Bukhari)
Bagi mereka yang tidak puasa, tidak boleh makan sesuka hati sebaliknya perlu menjaga adab. Jangan pula makan dan minum di tempat terbuka mentang-mentang dirinya uzur ataupun bermusafir.
3. Syahrul Quran (Bulan al-Quran)
Selalunya apabila tiba Ramadan, barulah makin ramai individu yang kembali membuka dan membaca al-Quran. Kalau di luar Ramadan, banyak mushaf yang hanya jadi perhiasan. Suci dalam debu.
Inilah antara kelebihan Ramadan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185.
Lebih penting, Allah menjanjikan ganjaran pahala yang luar biasa bagi mereka yang berpuasa Ramadan. ini, berdasarkan hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Bahawa Allah SWT telah berfirman: Setiap amal anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan memberi balasannya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran)
Ibadah puasa dan sabar punya hubungan yang erat. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada golongan orang yang sabar. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas. (az-Zumar:10)
Sabar bukan hanya menahan diri daripada makan, minum dan perbuatan membatalkan puasa, sebaliknya menahan pancaindera daripada memandang perkara-perkara maksiat, menahan mulut daripada mengeluarkan perkataan yang buruk dan menyakiti orang lain, menahan tangan daripada menghantar mesej-mesej yang lagha dan lucah dan sebagainya.
Yang penting kita mesti memelihara daripada batalnya puasa dan memelihara daripada batalnya pahala puasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW yang bersabda yang bermaksud: Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya. (Riwayat Bukhari)
Dalam buku Tasawuf Modern karya Allahyarham Profesor Hamka ada dinukilkan kisah menarik yang boleh dianalogikan dengan ibadat puasa.
Diceritakan pada suatu ketika Raja Iskandar Zulkarnain membawa sepasukan tentera untuk menyerang suatu daerah. Pesan beliau kepada pasukannya: “Malam nanti kita akan menyeberangi sungai, maka ambillah apa yang dipijak dalam sungai itu”.
Ketika tiba masanya, ada tiga pasukan yang bergerak. Pasukan pertama melintasi sungai dan tidak mengambil apapun. Sebabnya, mereka berfikiran apa yang ada di dalam sungai tersebut hanyalah batu. Mengambil batu bermakna akan melambatkan perjalanan.
Adapun pasukan kedua, mereka hanya mengambil apa yang dipijak secara ala kadar. Bagi mereka yang penting adalah sudah mematuhi perintah raja.
Sementara pasukan ketiga melintas, mereka mengambil sebanyak-banyaknya apapun yang dipijak, sehingga mereka penuh muatan dan berat untuk meneruskan perjalanan ke lokasi.
Apabila tiba di suatu tempat, sang raja tadi bertanya kepada tenteranya. Mereka diminta menunjukkan apa yang diperolehi. Ternyata apa yang mereka pijak di sungai tadi ialah intan berlian.
Ini menyebabkan pasukan pertama rasa kecewa, pasukan kedua rasa gembira tetapi menyesal. Adapun pasukan ketiga sangat gembira kerana mereka taat kepada perintah Raja.
Ketika dikaitkan dengan perjalanan memasuki Ramadan, setiap muslim mempunyai tiga pilihan. Pertama, ada yang masih rugi kerana bangun dinihari semata-mata bersahur.
Golongan kedua, yang pentingkan puasa tetapi belum sepenuhnya. Perkataan masih menyakiti hati orang, mata masih melihat yang buruk-buruk, telinga, tangan dan sebagainya tidak dijaga. Dengan kata lain, hanya puasa orang awam.
Golongan ketiga adalah mereka yang memasuki Ramadan dengan bersungguh-sungguh, penuh keimanan dan ketakwaan.
Pastinya, kelompok terakhir yang dapat mencapai puasa khusus. Akhirnya, mencapai tujuan puasa iaitu mudah-mudahan menjadi orang yang bertakwa.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










