MANILA: Dua anak kapal warga Filipina antara individu terbunuh dalam serangan peluru berpandu dilancarkan oleh kumpulan Houthi Yaman ke atas sebuah kapal di Teluk Aden.
Perkara itu dimaklumkan oleh kerajaan Filipina menerusi satu kenyataan.
Individu yang terbunuh dalam serangan itu merupakan kes kematian pertama akibat serangan Houthi ke atas kapal dagang yang transit di laluan utama perdagangan Laut Merah.
“Dengan rasa sedih dan dukacitanya, Jabatan Pekerja Migran mengesahkan kematian dua pelaut warga Filipina dalam serangan terbaharu Houthi ke atas kapal yang berlayar di Laut Merah dan Teluk Aden.
“Kami juga mendapat maklumat bahawa dua lagi anak kapal warga Filipina mengalami cedera parah dalam serangan ke atas kapal mereka,” jelasnya.
Tambah kerajaan, Manila ketika ini sedang berhubung dengan pemilik kapal dan agensi kru untuk memastikan anak kapal lain selamat dan menghantar mereka pulang.
Sementara itu, Komando Pusat Amerika Syarikat (AS) memaklumkan peluru berpandu balistik anti-kapal menyerang kapal M/V True Confidence milik Liberia yang mengibarkan bendera Barbados, selepas krunya melaporkan tiga orang maut dan empat cedera termasuk tiga dalam keadaan kritikal.
Jelasnya, serangan itu menyebabkan kapal itu mengalami kerosakan yang besar.
Jurucakap Houthi, Yahya Saree menerusi catatan di media sosial mendakwa True Confidence menjadi sasaran serangan peluru berpandu selepas anak kapal menolak mesej amaran daripada kumpulan. – AFP










