Penganggur didakwa pukul isteri, anak dan ugut bunuh ibu

Penganggur didakwa pukul isteri, anak dan ugut bunuh ibu kandung

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas lapan pertuduhan memukul isteri dan anaknya termasuk mengugut untuk membunuh ibu kandungnya sendiri. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana menolak permintaan suami untuk makan malam bersama, seorang wanita bersama tiga anak perempuannya dipukul oleh lelaki itu, dalam kejadian minggu lalu.

Si suami yang juga seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan termasuk mengugut untuk membunuh ibu kandungnya sendiri.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 40 tahun itu mengaku tidak bersalah dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman dan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azaraorni, tertuduh didakwa dengan empat pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap isteri berusia 41 tahun dan tiga anak perempuannya masing-masing berusia 12, 14 dan 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah bernombor di Taman Merlimau Baru dalam daerah Jasin pada 26 Februari 2024.

Mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah untuk membunuh dan membakar ibu kandungnya berusia 63 tahun di lokasi, tarikh dan waktu sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Rohatul Akmar pula, tertuduh didakwa dengan tiga pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga anak perempuannya dengan cara menunjukkan kemaluan kepada semua mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau didenda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan mangsa adalah anak kandung tertuduh.

Bagaimanapun, Anis Najwa mencadangkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia tidak mampu menyediakan wang jaminan. Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas suspek dipercayai memukul dan memijak tiga anak perempuannya selepas si isteri menolak untuk makan malam bersama dalam kejadian di Merlimau, minggu lalu.

Susulan laporan dibuat isterinya pada 26 Februari 2024, suspek ditahan kira-kira pukul 1.40 pagi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, sebelum insiden suspek dikatakan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk pada pukul 10 malam dan mengajak isterinya untuk makan malam bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×