MELAKA: Salah seorang ahli sindiket yang dipercayai menjadikan Pantai Klebang di sini sebagai transit pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa sebagai jalan keluar ke Dumai, Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam.
Tertuduh, Phua Cheong Ong, 49, didakwa dengan tiga pertuduhan mengedar dadah seberat 83.4 kilogram (kg) yang ditemui dalam dua kereta.
Selepas kesemua pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam, tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 20,793 gram (g) yang disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 dalam sebuah kereta Toyota Camry.
Selain itu, tertuduh turut didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 31,161 g dan 31,449 g dadah jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam sebuah kereta Toyota Vios.
Kesemua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.20 petang di tepi Jalan KPKS 5, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Kota Syahbandar dalam daerah Melaka Tengah pada 21 Februari 2024.
Mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, tertuduh boleh dikenakan hukum mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, perlu disebat minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Dzvuriyah Velayit Hussein. Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 April ini.
Pada 23 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Pantai Klebang berkemungkinan dijadikan transit oleh sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa sebagai jalan keluar ke Dumai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, ini susulan tumpasnya satu sindiket selepas enam individu termasuk dalangnya ditahan dalam tiga serbuan berasingan di tiga negeri.
Beliau berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang hingga 6.45 petang itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 83.45 kg yang dianggarkan bernilai RM4.02 juta.
Katanya, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 74 tahun ditahan dalam operasi khas JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan pasukan tindakan khas (PTK) Melaka, Pahang dan Johor. –UTUSAN










