KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memerlukan ruang bagi menyiasat berhubung kehilangan RM3.5 juta di rumah seorang ahli perniagaan di Padang Balang, di sini pada Ahad lalu.
Allaudeen berkata, kes berkenaan masih dijalankan bagi mengesan suspek terlibat dalam kejadian itu.
“Kita (polis) masih jalankan siasatan dan kita percaya akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Hi Tea anjuran Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Semalam, polis mengesahkan siasatan secara menyeluruh termasuk ambil keterangan ahli keluarga usahawan wanita yang dilaporkan kerugian RM3.5 juta ekoran kejadian pecah masuk di rumahnya.
Allaudeen berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan ahli perniagaan berkenaan bagi membantu siasatan.
Pihak polis kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti suspek yang terbabit.
Semalam media melaporkan, seorang usahawan wanita kerugian RM3.5 juta selepas peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dilarikan dalam kejadian di Padang Balang, Sentul di sini, kelmarin.
Suspek turut melarikan beberapa buah beg tangan pelbagai jenama dalam kejadian antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam itu.
Katanya, ketika rumah itu dipecah masuk penghuninya tiada di rumah selain televisyen litar tertutup (CCTV) kediaman itu dirosakkan. –UTUSAN










