Penduduk gesa kuari pasir ditutup kerana hakisan

Penduduk gesa kuari pasir ditutup kerana hakisan

PENDUDUK melihat kesan hakisan tanah di belakang rumah yang didakwa berpunca daripada operasi kuari pasir di Kampung Masjid Lama, Jeniang di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 150 penduduk Kampung Masjid Lama, Jeniang di sini membantah projek menyedut pasir di Sungai Muda yang terletak berdekatan kampung mereka kerana mengancam keselamatan dan menjejaskan alam sekitar.

Dakwa penduduk, walaupun hanya baru beroperasi sejak akhir Disember lalu, mereka menerima kesan yang teruk dan tidak dapat membayangkan apa yang bakal menimpa kampung mereka jika projek itu dibiar berterusan.

Seorang penduduk, Abdul Majid Sudin, 55, berkata, dia berasa tidak selamat selepas tebing di belakang rumahnya mulai runtuh dan mengakibatkan sempadan tanah miliknya berkurang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejak kuari pasir yang berjarak 150 meter dari rumah beroperasi, saya kehilangan tanah hampir dua meter apabila tebingnya runtuh.

“Keadaan ini memang jelas merugikan saya sebagai pemilik tanah bergeran sedangkan tiada ganti rugi diberi oleh pemilik kuari atas apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ahmad Nazari Abdul, 42, kesal kerana pihak berkuasa seolah-olah tutup mata apabila beberapa aduan sudah dibuat penduduk supaya kuari pasir itu ditutup kerana terletak terlalu dekat dengan kampung mereka.

“Sepatutnya ada peraturan yang harus diikuti oleh pengusaha kuari seperti tidak boleh beroperasi berdekatan perkampungan kerana menjejaskan kelestarian alam.

“Operasi menyedut pasir ini juga dikesan dilakukan hingga menghampiri penempatan penduduk yang mengakibatkan susut nilai tanah,” katanya.

Bagi Rashidah Sharif, 65, dia juga rasa tidak selamat selepas mendapati berlaku banyak keretakan di dinding rumahnya yang didakwa berpunca daripada tanah mendap akibat operasi kuari pasir itu.

“Kapal korek milik pengusaha kuari itu dilihat menghampiri kawasan di belakang rumah saya membuatkan saya tidak lena tidur kerana bimbang rumah boleh runtuh bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kariah merangkap Imam Masjid Sapuan, Jeniang, Khalid Hussain, 63, berkata, operasi kuari pasir yang berterusan hanya beberapa bulan lalu telah menyebabkan kawasan masjid dan kubur di tebing Sungai Muda rosak dan runtuh.

“Kita bimbang akan berlaku hakisan lebih teruk jika dibiarkan dan berharap kuari ini segera dihentikan operasinya oleh pihak berkuasa. Janganlah hanya semata-mata fikirkan keuntungan sedangkan orang lain yang menanggung akibatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini