Dua sahabat curi jam tangan Garmin, diarah jalani khidmat

Dua sahabat curi jam tangan Garmin, diarah jalani khidmat masyarakat

DUA sahabat mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencuri dan menerima harta curi iaitu seutas jam tangan pintar berjenama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mahkamah Majistret di sini hari menjatuhkan hukuman tiga bulan khidmat masyarakat kepada dua individu, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri dan menerima harta curi iaitu seutas jam tangan pintar berjenama.

Tertuduh, Nur Hafiz Abd. Rahim, 42, dan Maziri Mahmud, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nur Hafiz didapati telah mencuri seutas jam tangan jenama Garmin Approach S70 yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM3,210 milikan syarikat Garmin.

Kesalahan itu dilakukan di Kedai Garmin Aeon Bandaraya Melaka dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.52 petang, 6 Februari 2024.

Mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga didenda.

Dalam prosiding sama, Maziri bersama seorang lagi yang masih bebas dengan curangnya telah menerima jam sama dilaporkan hilang dan mempunyai sebab mempercayai ia adalah harta curi antara pukul 5.52 petang hingga 11 malam, hari sama di sekitar lorong dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dikenakan kepada kesemua tertuduh.

Peguam Faiezad Razali memohon kedua-dua anak guamnya dikenakan hukuman alternatif di bawah Seksyen 5 Akta Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah 1954 (Pindaan 2021) dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah mengarahkan tertuduh dikenakan perintah kehadiran wajib selama tiga bulan iaitu tiga jam sehari di Pejabat Payroll Melaka Tengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×