ISINGAPURA: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran diberi kebenaran untuk kekal di luar negara selama 16 hari lagi selepas dilaporkan jatuh sakit ketika berada di Australia.
Iswaran yang menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk dua kes rasuah diberi kebenaran bulan lepas untuk meninggalkan Singapura ke Australia dari 16 Februari hingga 4 Mac bagi membantu anaknya menetap di universiti.
“Pada sebutan segera di Mahkamah Negeri hari ini, pihak pembelaan memfailkan permohonan melanjutkan kebenaran Iswaran untuk meninggalkan bidang kuasa selama 16 hari sehingga 19 Mac 2024, kerana beliau jatuh sakit semasa berada di Australia,” kata jurucakap Jabatan Peguam Negara (AGC) dipetik CNA.
Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu kerana tertakluk kepada syarat jaminan yang dipertingkatkan namun butiran penyakit Iswaran tidak dijelaskan.
Iswaran diwakili oleh pasukan yang diketuai oleh Peguam Senior, Davinder Singh.
Di bawah syarat lanjutan itu, Iswaran perlu melaporkan maklumat terkini keadaan kesihatannya kepada pegawai penyiasat melalui panggilan video setiap hari termasuk sebarang isu berhubung kepulangannya ke Singapura pada 19 Mac ini.
Penjamin Iswaran juga mesti bersetuju dengan lanjutan tempoh tinggalnya di Australia.
Bekas menteri itu juga perlu menyerahkan pasportnya kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah pada 20 Mac ini.
Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan awal Iswaran pada 8 Februari lalu selagi dia mematuhi syarat jaminan termasuk wang ikat jamin tambahan sebanyak 500,000 dolar Singapura (RM1.7 juta) di samping jaminan sedia ada berjumlah 800,000 dolar Singapura (RM2.8 juta).
Selain jaminan tunai tambahan, Iswaran juga dikehendaki memberikan jadual perjalanan dan alamatnya di luar negara kepada pegawai penyiasat serta terus dihubungi pasukan itu pada setiap masa.










