Fahamkah generasi dan pemimpin muda tentang kontrak sosial?

Fahamkah generasi dan pemimpin muda tentang kontrak sosial?

SEMUA pihak perlu memahami tentang kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan dengan teliti, mendalam dan sorotan yang bersifat filosof demi kestabilan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONTRAK sosial yang dipersetujui menjelang kemerdekaan negara antara orang Melayu dan kaum imigran bukan Melayu adalah isu besar dalam pembinaan sebuah negara bangsa yang stabil dan makmur. Ia adalah asas penting bagi memastikan tanah air ini stabil dan berjalan dengan mengekalkan kemakmuran secara berterusan.

Kontrak sosial bukannya untuk kepentingan sebelah pihak (bangsa Melayu dan kaum bumiputera lain sahaja), tetapi ia mesti difahami sebagai asas utama bagi menjamin kestabilan negara secara menyeluruh. Mudahnya, ia bagi menjamin kedudukan orang Melayu dan kaum bumiputera lain dalam masyarakat berbilang bangsa.

Juga harus difahami kestabilan bangsa utama (orang Melayu) dalam aspek politik, kedudukan ekonomi dan keharmonian sosial adalah persoalan utama bagi kestabilan keseluruhan negara. Ketidakstabilan kumpulan penduduk utama ini akan membawa kepada ketidakstabilan negara secara menyeluruh.

Jika dihayati dengan teliti tafsiran Melayu (sebagaimana termaktub dalam Perkara 160) adalah bermatlamat membina sebuah negara bangsa yang kukuh dalam jangka panjang dan cuba mengelak terbentuknya ‘one state, multiple nation’.
Kontrak sosial bukan diasaskan kepada bahasa harian yang boleh diperkotak-katikkan, tetapi mempunyai asas undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara.

Kaum imigran diterima sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu, tetapi bangsa Melayu mempunyai hak dalam hal berkaitan dengan kedudukan dan peranan raja-raja/sultan Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kedudukan serta hak istimewa orang-orang Melayu dan kaum bumiputera lain. Persoalan ini tidak boleh disentuh dengan sewenang-wenangnya oleh sesiapa.

Semua persoalan ini mempunyai peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3; tentang agama Islam sebagai agama Persekutuan, Perkara 152 tentang bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Perkara 153 tentang kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi (tetapi demokrasi beraja) dengan peranan Majlis Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai peranan dan fungsi penting dalam kestabilan politik serta perjalanan pentadbiran dan politik negara.

PERKARA 153
Persoalannya sekarang adakah rakyat Malaysia khususnya generasi muda memahami dan menyedari hakikat kontrak sosial secara mendalam dan bersifat filosof? Adakah mereka sedar betapa pentingnya asas dan matlamat kontrak sosial dalam membina kestabilan dan kemakmuran negara? Begitu juga dengan peringkat pimpinan negara (khususnya pemimpin generasi baharu), benar-benar faham dengan prinsip dan falsafah kontrak sosial dan kaitannya dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan?

Kita ambil satu contoh mudah, kenapa pentingnya kedudukan dan hak keistimewaan orang Melayu sebagai penduduk asal dan kumpulan penduduk majoriti dipertahankan? Kedudukan orang Melayu dijelaskan dalam peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Jika dibaca sekali imbas, peruntukan ini seakan tidak adil dan dikaitkan dengan mempunyai unsur-unsur diskriminasi antara kaum.

Kedudukan dan peri pentingnya Perkara 153 ini diperkukuhkan lagi dengan Perkara 38(5) iaitu sebarang perubahan tentang Perkara 153 dan pindaan tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan daripada Majlis Raja-Raja Melayu.

Kedudukan dan kestabilan orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak adalah asas penting dalam membina kestabilan dan kemakmuran negara. Negara tidak akan stabil andainya orang Melayu berada dalam keadaan tidak stabil, dominasi politik yang lemah, kemakmuran ekonomi yang rendah dan kestabilan sosialnya tergugat.

Dalam Perkara 153 disentuh tentang jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran, permit atau lesen menjalankan perniagaan serta peluang ekonomi bagi menjamin kedudukan orang Melayu. Adakah persoalan ini benar-benar difahami, dihayati khususnya generasi muda dan pimpinan negara kini?

Wajarkah isu berkaitan dengan perkhidmatan awam dan peruntukan pencen pesara awam yang dinyatakan dengan jelas dan mempunyai peruntukan dalam Perlembagaan (Perkara 147) cuba diusik oleh pentadbiran kini? Adakah amanah ini dipenuhi oleh pimpinan tertinggi negara? Atau keistimewaan ini disalah guna oleh pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa atas nama ‘hak keistimewaan Melayu’ tetapi hanya untuk kumpulan tertentu dan bukan untuk kepentingan Melayu dan negara sebelum ini.

Tentang pemberian biasiswa dan keistimewaan lain dalam pelajaran kepada orang-orang Melayu adakah dilaksanakan secara sepatutnya sebagaimana yang dilakukan pada zaman pentadbiran Tun Abdul Razak? Adakah ia sama pemberian biasiswa dengan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diamalkan kini?

Apakah kesan kehidupan graduan Melayu dengan bebanan pinjaman pelajaran tinggi? Kenapa Majlis Perwakilan Pelajar di universiti tidak pernah membangkitkan persoalan biasiswa dan kaitannya dengan Perkara 153? Adakah pemimpin mahasiswa kini memahami Perlembagaan Persekutuan? (seperti Artikel 153 dan peruntukan lain yang berkaitan dengan hak mereka).

Atau adakah pimpinan pelajar mula terpengaruh dengan gerakan sama rata yang cuba menidakkan kedudukan dan hak keistimewaan Melayu dan bumiputera lain. Fahamkah mereka dengan Perkara 8(2) -”Kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini.”

Pentadbiran Abdul Razak meletakkan Perkara 153 sebagai asas utama dalam sebarang polisi dan keputusan. Kita perlu kembali kepada prinsip ini.

Pemahaman mendalam semua aspek yang berkaitan dengan kontrak sosial dan hubungannya dengan peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah sangat perlu bagi semua peringkat penduduk, khususnya generasi muda dan pimpinan utama negara.

Semua parti politik sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, parti Melayu atau bukan Melayu perlu memahami tentang kontrak sosial dan peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan teliti, mendalam dan sorotan yang bersifat filosof.

Elakkan sebarang kepentingan sempit dan bersifat jangka pendek. Kepentingan hanya semata-mata demi negara dan yang lebih bersifat jangka panjang perlu lebih diutamakan.

Kontrak sosial perlu dijadikan asas pembinaan negara sementara Perlembagaan Persekutuan adalah dasar undang-undang perjalanan dan pembinaan negara yang perlu dijunjung setiap masa, dalam semua keadaan.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×