Abdul Hadi utus surat kepada Sultan Selangor 

Abdul Hadi utus surat kepada Sultan Selangor 

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Abdul Hadi Awang mengutus surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam. 

Pejabat Presiden Pas melalui makluman yang dikongsi di media sosial memaklumkan, warkah menjunjung kasih tersebut diutus dan diserah kepada Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani. 

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menjelaskan secara terperinci tujuan warkah berkenaan diutus kepada baginda. 

Bagaimanapun, ia dipercayai berkaitan kenyataan dikeluarkan beliau bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di portal berita partinya. 

Pada 29 Februari lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi, yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutus kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri bertarikh 27 Februari 2024. 

Sultan Sharafuddin menegur Abdul Hadi supaya lebih berhati-hati dan tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataannya.

Hal demikian kerana kenya­taan dibuat beliau disifatkan cuba mempertikai tindakan Majlis Raja-Raja Melayu dan Sultan Selangor sendiri sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ewah Agama Islam (MKI).

Muhamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin bertitah kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi bukan sahaja boleh mengelirukan, malah membawa kegelisahan yang menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, Abdul Hadi dikatakan membuat kenyataan secara terbuka dalam media sosial tanpa membaca secara menyeluruh dan mendalam titah baginda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019.

Terdahulu, Abdul Hadi da­lam kenyataannya menyebut semua manusia dihilangkan pangkat dan kedudukan di dalam kubur sementara tugas dan jawatan mereka akan dipersoal serta dihisab pada hari akhirat.

Beliau turut mendakwa rakyat negara ini diperangkap oleh penjajah yang bukan Islam supaya terpengaruh dengan nasihat mereka yang sesat daripada petunjuk Allah SWT. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×