KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan saranan gaji graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjumlah RM4,000 ke atas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat saranan agar gaji premium itu bukan berdasarkan kepada gaji minimum, tetapi satu tahap lebih tinggi.
Justeru, katanya, pihaknya percaya saranan itu secara tidak langsung dapat menggalakkan pelajar masuk ke institusi TVET.
“Selanjutnya, TVET tidak akan dimulakan selepas tingkatan lima sahaja, tetapi selepas tingkatan tiga di mana kolej vokasional, teknikal dan sebagainya akan menjadi feeder (pembekal) kepada institusi TVET agar mereka dapat ambil diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada arakan lain, dan ini merupakan satu penggalakan yang dilakukan kerajaan,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung penekanan khusus diberi kepada dasar TVET serta garis masa pelaksanannya dan sejauh mana fungsi Majlis TVET negara akan diperkasa sebagai badan pemutus dasar.
Selain itu, Halimah juga bertanya sama ada pihak kerajaan juga mengkaji dan merancang untuk mewujudkan akta gaji khusus untuk TVET berdasarkan kelayakan individu supaya diberikan pengiktirafan setanding dengan kelayakan lain.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan melancarkan dasar TVET pada 2 Jun tahun ini.
“Disamping itu kita juga juga mewujudkan hanya sebuah sahaja pusat pengiktirafan kepada TVET supaya tidak timbul kekeliruan dan kecacamarbaan dari segi pengiktirafan,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan amat komited dalam memperkasakan hala tuju TVET bagi menghasilkan lebih ramai golongan profesional.
Menurutnya, kerajaan amat menggalakan penglibatan industri dalam usaha menghadapi perkembangan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0. – UTUSAN










