KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat mencadangkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan digantung selama enam bulan selepas mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.
Menerusi aturan urusan mesyuarat dan usul-usul Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka mencadangkan usul itu selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Dilaporkan, Wan Saiful membuat dakwaan itu ketika membahas titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Pihak kerajaan dijangka membentangkan usul terbabit selepas waktu pertanyaan menteri bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut usul itu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa mengeluarkan sangkaan jahat ke atas Perdana Menteri, walaupun Speaker Dewan Rakyat berulang kali mengarahkan supaya tidak membuat kenyataan sedemikian.
“Bahawa Yang Berhormat Tasek Gelugor telah menggunakan nama Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi mempengaruhi Majlis Mesyuarat.
“Bahawa kenyataan yang dibuat Yang Berhormat Tasek Gelugor merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini,” menurut usul itu. – UTUSAN










