GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sembilan kru nelayan warga asing di atas dua bot nelayan tempatan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai pas kerja yang sah ketika berada di negara ini.
Pemangku Pengarah Maritim Pulau Pinang, Komander Maritim SP Nak Rong berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 6.10 petang semalam sewaktu bot peronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan di kedudukan 26.2 kilometer dari barat muara Sungai Pinang.
“Penahanan dilakukan ke atas seorang kru tempatan dan empat kru warga Myanmar yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8 (b) iaitu melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti perikanan di bawah jarak 27 kilometer.
“Kempat-empat kru warga Myanmar berkenaan juga disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 di bawah Seksyen (1) (C) iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Nak Rong, dalam kes berasingan, bot peronda Maritim Malaysia turut mengesan sebuah bot nelayan kelas C di sekitar 15.3 kilometer dari barat daya Pulau Kendi, pada 29 Februari lalu.
Katanya. pemeriksaan mendapati bot terbabit dikendalikan tiga orang kru warga tempatan, seorang kru warga Thailand dan empat orang kru warga Myanmar berumur lingkungan 25 hingga 37 tahun.
”Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 di bawah Seksyen 8 (b) dan Akta Imigresen 1959/63.
“Ketika anggota pasukan memeriksa dokumen pengenalan diri, kelima-lima kru terbabit gagal mengemukakan dokumen seperti yang diminta sewaktu penggeledahan ke atas bot berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek serta kedua-dua bot ditahan bersama tangkapan ikan dianggarkan 3,700 kilogram. Kedua-dua bot diiring ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN










