PETALING JAYA: Kerajaan wajar membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar ekoran pelbagai cabaran kewangan dihadapi rakyat khususnya kenaikan kos sara hidup.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kriteria sasaran itu boleh ditentukan kerajaan termasuk menyeimbangkan antara keperluan mendesak dengan simpanan tabung untuk hari tua.
“Secara prinsipnya, wang simpanan KWSP adalah wang pencarum, bukan wang kerajaan. Maka sepatutnya kerajaan mengambil serius tuntutan dan rayuan mereka untuk menggunakan wang sendiri.
“Jangan pukul rata semua pencarum. Seharusnya perkara ini diperhalusi secara case-by-case (kes demi kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wan Saiful menerima memorandum daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia yang menuntut pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar di Parlimen.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau menyokong usaha tuntutan pengeluaran simpanan KWSP secara bersasar.
Katanya, menerusi memorandum yang diserahkan, mereka menyatakan dengan jelas pelbagai cabaran yang mendesak kehidupan mereka.
“Kenaikan kos sara hidup mendadak akibat kegagalan kerajaan yang tidak kompeten ini menambah kesusahan mereka.
“Mewakili rakyat yang sedang tertekan, saya mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran secara bersasar,” katanya. – UTUSAN











