ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan kerajaan untuk menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya agar memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terlibat.
Baginda bertitah, kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah agar setanding dengan sistem yang diguna pakai di Mahkamah Sivil.
Titah Sultan Sallehuddin, baginda mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini.
“Selain aspek pembangunan dan fiskal, beta ingin memberi penekanan kepada aspek kehakiman negeri iaitu institusi Mahkamah Syariah.
“Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di sini, hari ini.
Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah; Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff; Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Speaker DUN Kedah, Zubir Ahmad; Timbalan Speaker, Abd. Razak Khamis dan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri Kedah.
Tambah Sultan Kedah, Mahkamah Syariah merupakan obor keadilan agama Islam yang merupakan agama rasmi negeri ini.
Oleh itu, baginda mahu usaha-usaha pemerkasaan itu dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Negeri Kedah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tujuh seksyen yang termaktub di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati menyamai atau hampir menyamai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan
Antaranya berkaitan kesalahan liwat; perbuatan sumbang mahram; penyalahgunaan tanda halal; minuman yang memabukkan serta memusnahkan atau mencemarkan masjid, surau dan sebagainya.
Selain itu, kesalahan berkaitan pelacuran di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati turut menyamai Seksyen 43, Seksyen 44 dan Seksyen 45 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Bagi kesalahan liwat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, mana-mana lelaki yang melakukan perbuatan itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu jika sabit kesalahan.
Susulan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta beberapa pihak lain dalam usaha mengukuhkan undang-undang syariah negeri berkenaan. –UTUSAN











