KUALA LUMPUR: Seorang wanita hanya mampu menjerit apabila gagal menyelamatkan suaminya yang lumpuh dalam kebakaran di rumah setinggan di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.
Suata Pak Kana, 60, hanya sempat menjerit memaklumkan rumahnya terbakar dan tidak dapat mengangkat suaminya, Nasir Yaakob, 60, kerana api terlalu marak.
Menurutnya, ketika kejadian dia terjaga dari tidur dan hendak ke bilik air sebelum menyedari api di sebelah rumah sudah marak dan suaminya juga menjerit memberitahu api.
“Saya juga lihat jiran saya juga cuba memadam kebakaran di rumahnya itu namun api terlalu marak,” katanya ketika ditemui di perkarangan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini hari ini.
Sementara itu, menantunya, Muhammad Azhary Ali Azhar, 33, berkata, bapa mentua sudah lama mengidap penyakit angin ahmar dan lumpuh separuh badan.
“Emak (Ibu mentua) ada hubungi saya sekitar pukul 5 pagi memaklumkan rumah mereka terbakar dan tidak ada orang dapat menolong ayah keluar dari rumah itu.
“Sementara seorang lagi yang rentung itu itu dikenali sebagai pak cik Hassan yang sudah berusia dan mengalami masalah nyanyuk,” jelasnya.
Muhammad Azhary berkata, dia dan isteri serta anak tidak tinggal di rumah itu dan ibu bapa mentuanya juga baru berpindah ke situ sekitar lima tahun lalu.
“Emak cuma maklumkan api ketika itu terlalu marak dan dia tidak mampu untuk mengangkat ayah keseorangan.
“Saya ada meminta emak meminta bantuan jiran namun ketika itu keadaan terlalu kelam kabut dan emak kemudian terus lari keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, salah seorang mangsa kebakaran, Mohd Hussen Charisan, 58, berkata, dia ketika itu sedang tidur sebelum jiran yang lain mengetuk pintu dan memberitahu rumah terbakar.
“Kami semua tidak sempat berbuat apa-apa kerana api cepat marak dan barangan di dalam rumah semuanya musnah terbakar.
“Saya sudah menetap di sini selama 35 tahun dan ini kali pertama kejadian kebakaran seperti ini berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran 16 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 4.57 pagi tadi.
Sepasukan 46 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh dibantu BBP Jalan Hang Tuah, BBP Sentul, BBP Sri Petaling, BBP Pantai, BBP Sri Hartamas, BBP Taman Tun dan BBP Keramat dihantar ke lokasi. – UTUSAN










