Barang kawalan: Kerajaan pantau sempadan negara

Kerajaan pantau sempadan negara, tangani ketirisan barangan kawalan

Minyak masak paket
ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui kerjasama pelbagai agensi melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia yang berpotensi digunakan sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan terutama barang kawalan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya mengadakan Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan bersama 16 agensi penguatkuasaan di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, bengkel pada 22 Februari lalu merupakan tanda komitmen kementeriannya untuk memperkukuhkan kerjasama dan keberkesanan penguatkuasaan.

“Antara fokus penambahbaikan mekanisme penguatkuasaan adalah keperluan logistik semasa tangkapan dan sitaan, bantuan keselamatan, perkongsian maklumat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serahan kes daripada pelbagai agensi kepada Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“KPDN juga meletakkan keutamaan untuk menambahbaik pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan bagi kawasan pedalaman dan pulau-pulau. Program ini melibatkan peruntukan subsidi kerajaan bagi penghantaran barang-barang kawalan dan barang perlu dari Pusat Bekalan (Point of Source) kepada Pusat Jualan (Point of Sale).

“Setakat ini, tujuh jenis barangan terlibat adalah diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras putih, gula putih bertapis kasar dan tepung gandum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, antara agensi utama yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mengulas lanjut, Armizan berkata, penambahbaikan tersebut akan melibatkan empat komponen iaitu kaedah perolehan, pelantikan syarikat perkhidmatan pengangkutan, penentuan jumlah kuantiti bekalan, mekanisme kawalan pengedaran bekalan dan kaedah pemantauan penjualan.

“Penambahbaikan perlu dilaksanakan untuk memastikan objektif pelaksanaan program ini dapat dicapai sekali gus menangani ketirisan subsidi kerajaan dan manfaat pelaksanaan sampai kepada golongan sasar.

“Komponen pertama kaedah perolehan telah ditambah baik bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan proses tender terbuka berbanding proses pelantikan secara rundingan terus yang diguna pakai sebelum ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun ini penambahbaikan akan dirintis untuk tiga komponen yang lain termasuk rujukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mendapatkan anggaran keperluan isi rumah di sesebuah kawasan untuk menentukan jumlah kuantiti bekalan.

“Pada masa yang sama, sistem pelaporan pengedaran dan penjualan perlu diperkukuhkan untuk memastikan bekalan sampai dan dimanfaati golongan sasar.

“Mekanisme yang lebih teliti wajar dipertimbangkan untuk kawasan berisiko ketirisan seperti Pulau Sebatik yang merupakan kawasan sempadan. Ini termasuk mendapatkan kerjasama organisasi pentadbiran setempat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×