Skuad recurve lelaki negara terlepas pingat emas

Skuad recurve lelaki negara terlepas pingat emas

ARIANA Nur Dania (tengah) sewaktu beraksi ada acara recurve wanita pada Kejohanan Memanah Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memegang status selaku atlet kebangsaan bukan jaminan buat mereka untuk menerima laluan mudah apabila skuad recurve lelaki negara terlepas pingat emas di tangan pasukan negeri pada Kejohanan Memanah Kebangsaan 2024 di Shah Alam, Selangor, semalam.

   Kejohanan yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 itu menyaksikan pasukan senior Malaysia sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa, manakala, skuad pelapis kebangsaan yang berjaya mara ke pentas akhir hanya mampu memenangi perak.

   Dalam perlawanan akhir, skuad pelapis kecundang 2-6 kepada Sabah menerusi keputusan 49-53, 50-46, 49-54, 51-53, sementara, pasukan senior mudah menyingkirkan Perak 6-0 (55-49, 52-48, 55-47) dalam saingan perebutan gangsa.

   Pasukan senior diwakili Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan Syafiq Busthamin, manakala, skuad pelapis dibarisi Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi, Muhammad Rizq Arif Kharul Nezam serta Wan Qayyim Syahmi Wan Mahathir.

   Sementara itu, dalam saingan recurve berpasukan wanita, skuad kebangsaan yang diwakili Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh menepati ramalan membawa pulang pingat emas.

   Tiga srikandi negara itu tidak berdepan masalah untuk membenam Terengganu 6-0 dengan panahan konsisten 54-46, 52-50, 53-49, manakala, pingat gangsa dimenangi pasukan Sarawak selepas menumpaskan Kelantan 5-3 (42-51, 50-47, 47-47, 49-46).

   Ketua jurulatih skuad memanah kebangsaan, Mohd Marbawi Sulaiman ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sekalipun skuad lelaki terlepas pingat emas, tetapi, persembahan mereka secara keseluruhan menunjukkan petanda positif

   “Skuad senior dan pelapis bertembung sesama sendiri pada separuh akhir dan keputusan hanya dapat ditentukan berdasarkan panahan yang paling hampir dengan x, jadi, kemenangan berpihak kepada pasukan pelapis untuk mereka ke final.

   “Tetapi, keputusan ini, saya lebih selesa melihat dari sudut positif apabila atlet pelapis mampu memberi tentangan kepada atlet podium dan persaingan ke Piala Dunia nampaknya masih terbuka untuk kesemua pemanah termasuk atlet muda,” katanya.

   Mengulas pula mengenai keputusan yang dicatat pasukan wanita, beliau memberitahu, walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas serta angin yang kuat, tetapi mereka berjaya mengawal situasi tersebut dan membuang jauh-jauh perasaan gemuruh.

   “Saya puas hati dengan pencapaian keseluruhan pemanah wanita dan membuktikan mereka adalah yang terbaik di negara ini dan berhak berada dalam program podium,” ujarnya.

   Sementara itu, untuk acara berpasukan compound lelaki, seperti diduga pingat emas menjadi milik skuad kebangsaan yang mengalahkan Selangor 232-225, manakala, gangsa diraih Putrajaya yang mengetepikan Sabah menerusi keputusan 231-226.

   Untuk aksi final wanita, pemanah negara dikejutkan Wilayah Persekutuan apabila tewas tipis 220-222, manakala, gangsa pula menjadi milik pasukan Johor yang menumpaskan Sarawak dengan keputusan 220-217.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×