PORT DICKSON: Harga bagi perkhidmatan hotel di negeri ini dijangka masih lagi berada pada kadar berpatutan susulan peningkatan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus bermula 1 Mac lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, sehubungan itu pihaknya komited dalam memastikan khidmat serta kualiti yang diberikan setanding dengan harga yang ditawarkan kepada pengunjung.
“Bagi pelancong asing pula kami rasa tiada masalah kerana mata wang mereka lebih tinggi dari kita, contohnya pelancong dari Singapura, kenaikan sedikit harga ini tidak akan jadi isu buat mereka.
“Berdasarkan pengalaman saya dalam industri ini, ramai yang akan terima dan industri ini tidak akan terjejas sekiranya kami (hotel) berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian MAH Negeri Sembilan Food Festival 2024, Previu Sambutan Promosi Jualan Ramadan serta Pelancaran Buku Warisan Tradisi Negeri Sembilan Versi Bahasa Inggeris, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon.
Haziz dalam pada itu berkata, harga bufet Ramadan juga akan berlaku peningkatan sekitar lima hingga 10 peratus namun lebih berbaloi berbanding dengan harga bufet yang terdapat di ibu negara.
“Ada potensi bufet Ramadan semua hotel perniagaan meningkat, hotel-hotel di negeri ini telah melakukan promosi setiap hari di media sosial dan harga yang ditawarkan juga lebih berpatutan dari hotel di Kuala Lumpur,” katanya lagi.-UTUSAN.











