KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat mengharungi cabaran Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang buat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang mengetuai ekspedisi itu bermula esok.
Ekspedisi sejauh 400 kilometer itu pastinya melakar satu lagi sejarah buat keluarga diraja Pahang tentang kegemilangan Sungai Pahang sebagai pengangkutan utama sejak zaman dahulu.
Al-Sultan Abdullah dan Tun Azizah Aminah Maimunah bertitah agar paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang menitikberatkan aspek keselamatan dengan sentiasa berwaspada sepanjang ekspedisi tersebut termasuk menjaga kesihatan dengan baik.
Sepanjang Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang selama empat hari itu, baginda berdua turut menitahkan Tengku Hassanal sentiasa mendampingi serta menyantuni rakyat jelata.
“Bertanya khabar dan melihat sendiri bagaimana rakyat jelata menjalani kehidupan seharian. Mana yang boleh dibantu, harus diberikan keutamaan,” titah baginda berdua.
Titah Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Maimunah Iskandariah, ekspedisi itu mengimbau kembali sejarah paduka nenda, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah yang memudik Sungai Pahang untuk ke Perak bagi meminang Tengku Ampuan Besar Raja Fatimah Almarhum Sultan Sir Iskandar Shah Kadasullah ketika itu.
“Ekspedisi selama empat hari itu akan bermula di Pekan dan berakhir di Tanjung Gahai, Lipis itu akan menggunakan bot atau perahu kajang yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengangkutan awam penduduk yang menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan.
“Paduka ayahanda dan bonda mendoakan ekspedisi ini berjalan lancar dan dipermudahkan sekali gus dapat membuka ruang kepada paduka anakanda untuk menghayati keindahan alam, mengimbau sejarah dan warisan kegemilangan sungai Pahang serta menyantuni rakyat jelata di sepanjang Sungai Pahang,” titah baginda.
Almarhum Sultan Abu Bakar di zaman pemerintahannya sememangnya terkenal sebagai seorang sultan yang berjiwa rakyat. Salah satu aktiviti tahunan baginda semasa hayatnya ialah menyusuri Sungai Pahang dan Sungai Tembeling untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat jelata di seluruh negeri Pahang.
Gambaran tentang kembara ini ada dikisahkan oleh seorang penulis Inggeris bernama Peter Moss. Beliau dan Duta Besar Pakistan ke Malaya dijemput untuk turut serta dalam rombongan kembara Sultan Abu Bakar melawat ke pelosok kampung di sepanjang Sungai Pahang dengan menaiki perahu panjang pada Mei 1960.
Buku bertajuk ‘Distant Archipelagos : Memories of Malaya’ dalam bab ‘ A Regal Progress’ menceritakan pengalaman menyusuri Sungai Pahang bermula di Kuala Lipis iaitu pertemuan Sungai Lipis dan Sungai Jelai sehingga ke Kuala Tahan. Rombongan Sultan Abu Bakar disambut penuh meriah oleh penduduk kampung yang berada di sepanjang sungai.
Di setiap kampung yang dilawati, baginda memeriksa dan bertanya keadaan sekolah dan klinik kesihatan selain pertemuan bersama ketua kampung, imam dan pegawai-pegawai kerajaan. Ini disusuli dengan jamuan kenduri secara besar-besaran dan pertunjukan acara serta tarian Mak Inang dan joget di atas pentas yang dibina khusus untuk menyambut rombongan diraja.
Antara kampung yang dilawati, Kampung Bantal dan Kampung Pagi selain beberapa perkampungan pesisir sungai lain di kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Kuala Tembeling.
Begitu juga dengan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah yang memerintah Pahang bagi tempoh 33 tahun iaitu dari 16 Ogos 1881 hingga 9 Mei 1914. Baginda menjelajah seluruh negeri Pahang menerusi Sungai Pahang dan menaiki gajah.
Bagi peserta Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang membabitkan enam daerah iaitu Pekan, Maran, Bera, Temerloh, Jerantut dan Lipis dinasihatkan mengutamakan aspek keselamatan dengan memastikan semua kelengkapan termasuk bot dalam keadaan baik.
Pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang mesti dalam keadaan siap siaga dan bersedia berdepan apa juga cabaran dalam menjayakan ekspedisi ini. Dalam ada jua keadaan keselamatan mesti menjadi keutamaan. – UTUSAN








