Tengku Hassanal dijangka mudik Sungai Pahang menaiki bot kajang - Utusan Malaysia

Tengku Hassanal dijangka mudik Sungai Pahang menaiki bot kajang

FADZLI Mohamad Kamal, menunjukkan risalah Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang dalam sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dijangka menaiki bot kajang menyelusuri Sungai Pahang sempena Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang akan berlangsung pada 3 hingga 8 Mac ini.

Bot atau perahu kajang suatu ketika dahulu pernah menjadi pengangkutan awam penduduk negeri ini yang menggunakan sungai sebagai jalan perhubungan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ekspedisi itu merupakan acara julung kali diadakan bagi negeri ini melibatkan enam daerah, Pekan, Maran, Temerloh, Bera, Jerantut dan Lipis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, perjalanan sejauh hampir 400 kilometer itu akan bermula dari Pekan Riverfront, Pekan dan berakhir di Kampung Tanjung Gahai, Lipis.

Tambahnya, dianggarkan ekspedisi terbabit akan disertai 150 peserta dan 18 buah bot melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang.

Menurutnya, pelbagai acara menarik disediakan sepanjang empat hari tiga malam program terbabit berlangsung termasuk perkhemahan bersama Tengku Hassanal di Maran dan Jerantut.

“Saya mendapat perkenan Tengku Hassanal yang mana orang ramai berpeluang bermalam dan berkhemah bersama Tuanku pada 3 Mac bertempat di tapak Rumah Warisan Chenor, Maran, dan pada 5 Mac bertempat di Kampung Gintong, Jerantut.

“Mereka yang berminat untuk menyertai perkhemahan ini boleh mendaftar dengan Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di daerah terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Fadzli berkata, dianggarkan sekitar 50,000 peminat permotoran bakal membanjiri RXZ Fighter yang akan diadakan di Serambi Teruntum pada 1 hingga 2 Mac ini.

“Ini program julung-julung kali diadakan dan 10,000 baju-T terawal sudah habis dijual dan kalau kebiasaannya, jika 10,000 terjual ni, kemungkinan 40,000 ke 50,000 peserta akan hadir dari seluruh negara.

“Program ini secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi negeri yang mana kita menjangkakan peserta akan membelanjakan sekurangnya RM600 seorang sepanjang program ini berlangsung,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri kemungkinan menjadikan program terbabit sebagai acara tahunan sekiranya menerima sambutan menggalakkan dan membantu perkembangan pelancongan negeri.

“Kita tengok macam mana acara pertama ini dianjurkan. Kita ada minta Tourism Pahang buat kajian atau laporan selepas acara ini berlangsung dan jika ia memberikan maklum balas positif dari segi ekonomi dan berjaya berlangsung dengan baik, apa salahnya kita buat sebagai acara tahunan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini