Rantau Panjang, Jeli dipilih lokasi stesen minyak tanpa subsidi di Kelantan

Rantau Panjang, Jeli dipilih lokasi stesen minyak tanpa subsidi di Kelantan

AZMAN Ismail (kanan) memotong riben sebagai simbolik pembukaan Cawangan Keempat Raja Perfume dan pelancaran Minyak Wangi Jenama Boyo Temago di Jelawat, Bachok, Kelantan hari ini.UTUSAN/TOREK SULONG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Rantau Panjang dan Jeli dipilih sebagai lokasi pembinaan stesen minyak tanpa subsidi yang dikhususkan kepada warga asing di sekitar kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, langkah itu membolehkan kenderaan milik warga Thailand termasuk pelancong asing menikmati kemudahan tersebut sepanjang berada di negara ini.

“Kedua-dua lokasi itu disifatkan cukup strategik dan pada masa sama ia mampu mengurangkan aktiviti penyeludupan bahan api itu ke negara jiran menerusi pangkalan haram yang terdapat disepanjang Sungai Golok.

“Selepas ini, kenderaan yang menggunakan pendaftaran luar atau negara jiran tidak akan dibenarkan mengisi minyak di stesen minyak bersubsidi sebagaimana yang berlaku sekarang. Warga asing tidak akan berebut-rebut dengan penduduk tempatan kerana tindakan sedemikian diklasifikasi sebagai tindakan yang salah,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Cawangan Keempat Raja Perfume dan Pelancaran Minyak Wangi Jenama Boyo Temago di Jelawat, di sini hari ini.

Azman memberitahu, kerja-kerja pembinaan stesen itu di Rantau Panjang sedang rancak berjalan manakala di Jeli sedang menunggu kelulusan Kementerian Kewangan bagi penukaran taraf urus niaga bahan api bersubsidi kepada stesen minyak tanpa subsidi.

Katanya, KPDN juga akan memantau urusniaga di stesen minyak bersubsidi yang berdekatan dan memastikan tiada lagi kenderaan asing mengisi minyak di lokasi yang salah.

“Tindakan segera akan diambil selepas ini dan ini adalah pendekatan yang berkesan mengelak bahan api bersubsidi dinikmati pihak lain,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×