Akses junta Myanmar kepada senjata harus disekat - PBB

Akses junta Myanmar kepada senjata harus disekat – PBB

VOLKER TURK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Masyarakat antarabangsa digesa mengambil tindakan untuk menyekat akses junta Myanmar kepada senjata, bahan api jet dan mata wang asing bagi menghalang rejim itu melakukan kekejaman terhadap rakyat negara itu.  

Perkara itu ditegaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk dalam majlis yang diadakan di Geneva.

“Saya mengulangi semula gesaan kepada masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada junta bagi menghentikan kekejaman terhadap penduduk negara ini termasuk Rohingya,” katanya.

Beliau menegaskan semua negara harus bertindak menyekat akses junta Myanmar kepada senjata, bahan api jet dan mata wang asing yang digunakannya untuk melakukan penindasan terhadap orang awam.

Myanmar dilanda konflik sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada tahun 2021.

Penduduk Rohingya Islam selama beberapa dekad pula berdepan dengan penganiayaan di Myanmar dan hampir sejuta daripada mereka tinggal di kem sesak di daerah sempadan Bangladesh Cox’s Bazar. 

Kebanyakannya juga sudah melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017.

Pemerintah tentera Myanmar melihat Rohingya sebagai penceroboh asing dan mereka dinafikan kerakyatan.

“Selepas berdekad diskriminasi, penindasan, pemindahan paksa secara besar-besaran dan pencabulan hak asasi manusia lain yang serius, Rohingya hari ini kekal dipenjarakan di kampung dan kem tahanan,” kata Turk.

Bulan lalu, Bangladesh berkata, mereka tidak akan membenarkan lagi pelarian Rohingya dari Myanmar memasuki negara itu kerana sudah menyokong sejumlah besar yang ada di sana. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×